suria

"Kenal Ramai Wanita, Tapi Hati Belum Berkenan" - Abam

Abam Bocey mengakui belum ada wanita yang sesuai dijadikan isteri.

PETALING JAYA: Pelawak Abam (Bocey) menjelaskan dia sebenarnya sedang berkawan dengan beberapa wanita namun sehingga kini masih belum ada yang benar-benar melekat di hatinya untuk dijadikan pasangan hidup.

Abam, 29, berkata, dia turut memperkenalkan wanita-wanita itu kepada ibunya terlebih dahulu sebelum dia berkawan dengan mereka secara serius.

"Saya ada berkawan dengan ramai wanita tapi semuanya masih dalam proses berkawan sahaja, tiada lagi yang istimewa untuk dijadikan isteri.

"Selalunya saya akan bawa balik dan kenalkan kepada ibu dahulu, jika ibu berkenan saya akan serius dengan hubungan itu.

"Ada juga beberapa yang dia suka tapi saya pula tidak berkenan," ujarnya kepada mStar Online

Foto Abam bersama wanita yang dikatakan teman istimewanya tersebar di laman Forum Cari.

Abam diminta mengulas tentang sekeping gambar dia bersama seorang wanita bertudung yang tersebar di Internet.

Bagaimanapun Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan berkata, dia tidak menolak seandainya akan berkahwin dalam tahun ini jika bertemu jodoh yang sesuai.

"Saya ini orang istimewa, bukan sebab saya artis tetapi sebab saya ada karenah yang orang susah nak terima. Lelaki pun ramai yang tidak mahu berkawan dengan saya.

"Pendek kata, kalau ada jodoh saya kahwin, kalau ada 'bodoh' saya blah," ujarnya berjenaka.

Sementara itu, Abam berkata, dia juga merancang untuk mengumpul seberapa banyak aset dan simpanan terlebih dahulu sebelum berumah tangga.

Katanya, dia sedar bentuk fizikalnya yang besar menyukarkan untuk dia mencari kerja selain menjadi pelawak.

"Saya kena kumpul harta dulu sebanyak mungkin sebelum kahwin kerana saya tidak berkemampuan untuk bekerja lain selain kerja ini (pelawak).

"Saya tidak boleh kerja jadi pengawal atau kerja di restoran makanan segera seperti orang lain.

"Oleh itu saya perlu hargai betul-betul kerjaya saya ada sekarang dan kumpul harta untuk masa depan," ujarnya.

Abam bersama kumpulannya Bocey turut dianggotai oleh Achey dan Fadh bakal bersaing di pentas Maharaja Lawak Mega 2017 yang bakal berlangsung pada 17 Februari ini.

Abam Bocey

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain