suria

Belasungkawa: Hilangnya Suara Emas Melayu Klasik SM Salim

Kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kanan) meluangkan masanya menziarahi jenazah Tan Sri SM Salim di Ukay Perdana, Ampang pada Khamis. FOTO: Bernama

KUALA LUMPUR: Dalam industri muzik tanah air jika disebut lagu-lagu irama Melayu Klasik dan Pop Balada, pasti yang berdendang dalam fikiran umum nama seniman legenda Tan Sri SM Salim.

Siapa yang tidak pernah mendengar lagu-lagunya, seperti 'Pantun Budi' yang sering dimainkan di majlis-majlis  perkahwinan, apatah lagi lagu Apa Nak Jadi dan lagu Pandang-pandang, Jeling-jeling pasti menghiburkan hati orang ramai.

Namun kini, lagu itu tidak lagi akan didendangkan oleh beliau, pemergian SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Mohammad Al-Mahros pada Khamis, umpama hilangnya permata irama Melayu Klasik negara.

SM Salim, 88, meninggal dunia pada 5.44 petang Khamis di kediaman anaknya di Sering Ukay, Ampang dekat sini kerana sakit tua.

Sila Klik: Biduan Negara, SM Salim Meninggal Dunia

Pemergian bintang itu ditangisi ribuan peminatnya di seluruh tanah air yang pastinya akan merindui suara emas Allahyarham yang kekal malar segar biarpun telah melangkaui zaman.

Pelakon kemodi, Hamid Gurkha (kiri) bersama S.M. Salim pada Festival Filem Malaysia 1982.

Dilahirkan pada 30 Julai 1928, dan merupakan anak jati Kampung Baru di sini, Allahyarham merupakan anak bongsu daripada 13 beradik.

SM Salim yang memulakan kerjaya sebagai juruhebah di Radio Malaya atau kini dikenali RTM telah berkecimpung dalam dunia nyanyian tempatan sejak 1950-an.

Selain kemerduan suaranya, lagu-lagu SM Salim 'melekat' di hati para peminatnya kerana keunikan lirik-liriknya yang bukan sahaja indah dan tinggi seni bahasanya, tetapi juga sarat dengan unsur jenaka dan nasihat.

Antara lagu-lagu emas SM Salim ialah 'Pasir Roboh, 'Seri Siantan', 'Bunga Tanjung', 'Joget Kasih Bermula', 'Mohon Kasih' dan 'Selamat Tinggal Bungaku'.

Kehebatan SM Salim sebagai anak seni diiktiraf menerusi beberapa anugerah antaranya anugerah 'Tokoh Seni' oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1991 dan 'Anugerah Seri Wirama' pada Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIMM) pada 1996.

M Nasir (kanan) bersama SM Salim di Anugerah Era pada tahun 2004. 

Beliau juga dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail pada tahun 1964 atas jasanya menyertai misi ketenteraan di Congo, dengan beliau  bertanggungjawab menghiburkan para tentera dari pelbagai negara di sana.

Dalam pada itu, SM Salim juga dianugerahi darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tan Sri' pada tahun 2001 daripada kerajaan selain Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan atas sumbangan beliau memperjuangkan lagu-lagu asli Melayu.

Allahyarham merupakan artis Malaysia kedua yang dianugerah gelaran itu selepas Tan Sri P. Ramlee pada 1962.

Bakat seni Allahyarham tidak dilupakan oleh penggiat seni era moden apabila turut diundang untuk berduet dengan beberapa artis seperti Datuk Siti Nurhaliza (Pandang-Pandang, Jeling-Jeling) Datuk Zainal Abidin (Satu), Datuk Ramli Sarip (Selapis Kasih, Sedulang Rindu), Datuk Sheila Majid (Entah Jadi, Entahkan Tidak) dan Datuk Jamal Abdillah (Zaman). 

Dari kiri; Siti Nurhaliza, SM Salim dan Zainal Abidin pada Anugerah Planet Muzik 2003.

Selain bakat nyanyian, anak seni yang tidak pernah jemu mengangkat muzik Melayu itu turut memperolehi Ijazah Kehormat Master Muzik (Persembahan) daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2003.

Namun, ketika meniti usia emasnya, Allahyarham pernah berpesan supaya jangan memainkan lagu nyanyiannya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggalkan dunia.

Allahyarham SM Salim meninggalkan seorang isteri Puan Sri Aishah Mohd Ghani dan tuhuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan Siti Zubaidah, 35. - BERNAMA

SM Salim

Artikel Berikut

Artikel Lain