suria

Iesya Toh Ikut Petua Melayu, Perlu Rahsiakan Kehamilan

Iesya Toh dijangka bersalin pada akhir November depan. Foto LOW BOON TAT
PETALING JAYA: Pengacara program Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh yang kini hamil tujuh bulan tidak berniat untuk menyorok berita kehamilannya daripada pengetahuan umum.

Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 33, sebaliknya berkata, dia tidak mendedahkan perkara itu kerana mengikut amalan dan petua orang Melayu yang tidak menggalakkan kehamilan diheboh-hebohkan.

"Saya tiada sebab tertentu pun hendak menyorokkan berita kehamilan cuma sekadar mengikut adat Melayu kita sahaja.

"Tambahan pula perut saya juga tidak terlalu besar jadi tiada pula yang bertanya dan saya pun tidak pula memberitahu secara terbuka," katanya kepada mStar Online.

Iesya gemar makan durian sepanjang hamil.

Pengacara itu ditemui pada majlis pelancaran payung yang diberi nama Payung Padi di Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Iesya dan suami, Huzairee Muhamad, 35, berkahwin pada 29 Mei tahun lalu dalam satu majlis yang diadakan di Angkasapuri Kuala Lumpur.

Pasangan ini dijangka menimang cahaya mata lelaki pada akhir November depan.

Dalam pada itu, Iesya mendedahkan keguguran yang dialaminya pada akhir tahun lalu juga menyebabkan dia lebih berhati-hati dengan kehamilan keduanya itu.

Bercerita lanjut tentang keguguran itu, Iesya berkata, ketika itu dia tidak menyedari sedang hamil dan keguguran berlaku selepas dia melakukan aktiviti 'rock climbing'.

"Ketika itu kandungan tidak sampai sebulan dan saya pun tidak sedar sedang hamil.

"Saya pula orangnya sangat aktif dan ketika kejadian saya sedang melakukan aktiviti sukan dan selepas turun saya sedar berlaku pendarahan," katanya.

Bercerita tentang kehamilannya, Iesya berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui tiba-tiba menggemari buah durian.

Antara artis yang hadir pada majlis pelancaran Payung Padi.

"Saya tidak pernah sukakan durian tetapi sejak hamil tiba-tiba gilakan buah tersebut sehingga adakalanya suami terpaksa keluar di malam hari mencari.

"Nasib baik sekarang ini sedang musim jadi mudah untuk dapat durian di Kuala Lumpur," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Iesya berkata, dia turut mengambil langkah berjaga-jaga apabila wabak Zika yang mampu memberi kesan kepada janin mula menular di negara ini.

Katanya, dia dan suaminya banyak membaca tentang wabak berkenaan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan ini adalah anak pertama mereka.

"Memang saya risau apabila berita melaporkan Zika mula menyerang Singapura dan negara kita kerana ia bukan penyakit yang boleh dipandang ringan terutamanya wanita mengandung.

"Saya cuba mengambil langkah berjaga-jaga selain memperbanyakkan membaca tentang virus berkenaan," jelasnya.

Iesya Toh

Artikel Sebelum

Artikel Lain