suria

Apa Sebab Hafiz Suip Masih Tinggal Dengan Mertua?

Hafiz Suip kini menetap di rumah keluarga mertuanya sejak berkahwin pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip memberitahu dia kini menetap bersama keluarga mertuanya di sini selepas mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel, 23, pada Mei lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Suip, 26, berkata, tindakan itu bagi memberi ruang kepada isterinya agar benar-benar bersedia sebelum mereka tinggal bersama.

"Sekarang saya tinggal dengan keluarga mertua untuk bagi masa dan ruang kepada isteri agar benar-benar bersedia sebelum kami tinggal berasingan.

"Saya ada rancang untuk duduk sendiri lepas kahwin, tapi saya kena faham juga dia agak rapat dengan ibunya.

Hafiz Suip dan isterinya. Foto dari Instagram Hafiz Suip.

"InsyaAllah bagi masa dia tinggal dengan keluarga setahun sebelum kami berpindah ke rumah sendiri," ujarnya kepada mStar Online.

Hafiz ditemui pada sidang media Taste Selebriti yang diadakan di Restoran Rebung, di sini, Selasa.

Pasangan ini berkahwin pada 14 Mei 2016 di Kuching Sarawak.

Dalam pada itu, ditanya tentang zuriat, Hafiz berkata, masih belum ada apa-apa tanda isterinya hamil.

Katanya, kadang-kala dia turut tertekan apabila sering ditanya hal berkaitan cahaya mata oleh kedua-dua belah pihak keluarganya.

"Biasalah sudah kahwin bila nak ada anak, ibu bapa saya pun asyik bertanya dan ingin cucu segera tapi setakat ini belum ada rezeki lagi.

"Insya-Allah, doakan yang terbaik kerana saya memang nak anak cepat," ujarnya.

Sementara itu, Hafiz yang turut terlibat dalam program Taste Selebriti memberitahu bakal menjalani penggambaran untuk program tersebut di Sarawak pada November depan.

Katanya, dia akan memperkenalkan beberapa resipi yang unik dan menjadi istimewa di negeri kelahirannya itu.

Program yang turut menampilkan Izreen Azminda, Sari Yanti, Fattah Amin, Kamal Adli dan Syatilla Melvin itu akan mula ditayangkan pada 26 September ini.

Program 13 episod itu akan disiarkan pada setiap Isnin pukul 9 malam di Astri Bella dan Mustika HD.

Hafiz Suip

Artikel Berikut

Artikel Lain