suria

Izzue Islam Tiada Masa Untuk Berehat

Izzue Islam mengakui jadual kerjanya yang padat membuatkan dia kurang mendapat rehat.

PETALING JAYA: Pelakon Izzue Islam mengakui tidak mempunyai masa untuk berehat dan bercuti panjang berikutan jadual kerja yang terlalu padat.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 26, berkata, dia mempunyai misi untuk mengumpul seberapa banyak simpanan dan aset sementara dirinya masih diperlukan dalam industri seni.

"Alhamdulillah rezeki sentiasa ada, jika ada sahaja tawaran saya tidak akan lepaskan kerana bagi saya selagi ada kudrat dan mampu saya akan lakukan.

"Pada saya inilah masa saya untuk kumpul duit dan aset kerana mungkin satu hari nanti rezeki saya perlahan dan kurang tawaran atau fokus kepada perkara lain," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Izzue berkata, perkara tersebut tidak menjejaskan prestasinya dalam apa juga bidang termasuk nyanyian dan pengacaraan.

Dalam pada itu dia turut menganggap peluang untuk bercuti bersama peminat-peminat yang ditaja oleh Safir Go Travel ke Jepun pada November depan sebagai satu cara dia berehat.

"Walaupun saya tidak pernah bercuti dengan isteri ke luar negara tapi kami berpeluang beberapa kali bercuti bersama peminat-peminat.

"Saya rasa ia seperti bercuti juga dan itu sahaja masa saya ada untuk bersama peminat-peminat.

"Bagi saya jika sesuatu yang menyeronokkan itu sudah dikira seperti bercuti," ujarnya.

Barisan pelakon filem Aliff Dalam & Dimensi.
Sementara itu, Izzue yang bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Aliff Dalam 7 Dimensi  berkata, dia menerima cabaran berbeza berbanding filem yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Katanya, watak sebagai Aliff yang mempunyai kuasa untuk melihat alam ghaib dapat memberi kepuasan kepadanya sebagai seorang pelakon.

"Watak Aliff sangat mencabar dan memberi kepuasan pada diri saya sebagai seorang pelakon. Keserasian antara saya dan juga beberapa pelakon lain juga membuatkan jalan cerita itu hidup di layar perak," ujarnya.

Dalam pada itu, menceritakan pengalaman sepanjang penggambaran, Izzue berkata, dia turut mengalami mimpi pelik dan mengigau ketika dalam tidur beberapa kali sepanjang penggambaran.

"Saya tidak digangu seperti kawan-kawan lain, cuma saya mimpi yang bukan-bukan. Isteri saya kata saya bercakap dalam tidur.

"Selain itu saya tidak dapat tidur lena selain sering terkejut ketika tidur sepanjang proses penggambaran. Mungkin juga badan yang terlalu penat," ujarnya.

Filem Aliff Dalam 7 Dimensi akan ditayangkan pada 8 Sepetember ini.
Izzue Islam

Artikel Lain