suria

'Jelajah Dunia Sebahagian Daripada Diri Saya' - Chef Wan

Chef Wan menganggap kekerapannya ke luar negara adalah sebahagian daripada kariernya. Foto AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Datuk Chef Wan menganggap kariernya sebagai chef selebriti yang sering membawanya menjelajah ke seluruh dunia sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 59, berkata, walaupun adakalanya berasa penat dengan situasi berkenaan namun beliau tidak pernah merungut kerana banyak perkara dapat dikongsi dan dipelajari sepanjang kembaranya itu.

"Ke luar negara sudah menjadi sebahagian daripada diri saya dan meskipun adakalanya saya berasa penat tetapi ia tidak pernah menghalang saya untuk terus melakukan apa yang saya suka.

"Sejak dari muda hingga kini banyak pengalaman dan ilmu yang saya timba daripada kembara tersebut dan ia membuatkan saya lebih matang dalam pelbagai aspek," katanya kepada mStar Online.

Chef Wan berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Buffet Ramadan di Jardin Villa di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, pada minggu ketiga Ramadan beliau bakal berangkat ke Barcelona selepas dijemput menjadi pengajar di sebuah sekolah masakan selama 10 hari.

Katanya, beliau juga akan menyambut Aidilfitri di negara itu sebelum kembali ke Malaysia.

"Saya terima kerana dijemput dan atas dasar untuk berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar masakan di sana.

"Tetapi saya tetap akan pulang ke tanah air untuk menyambut hari raya bersama keluarga," katanya.

Mengulas perkembangan terbaharunya, Chef Wan berkata, dia baharu sahaja pulang daripada penggambaran program Kembara Chef Wan musim ketiga dia beberapa buah negara seperti Brazil, Argentina dan Chile.

Kata Chef Wan, selain memasak program itu juga menyaksikan dia menyelami kebudayaan, masakan dan sejarah lokasi dikunjungi untuk dikongsi bersama penonton.

"Kami menjalani penggambaran di luar negara hampir 42 hari dan seperti biasa ia pengalaman menakjubkan kerana setiap hari saya akan dapat mempelajari sesuatu," katanya.

Tambah Chef Wan, selepas sambutan hari raya, beliau akan menyambung penggambaran program berkenaan di beberapa buah negara Amerika Latin selama tiga minggu.

Chef Wan, Kembara Chef Wan

Artikel Lain