suria

Ustaz Pantau Bacaan Al-Quran Hisyam Hamid

Hisyam Hamid bimbang bawa watak ustaz.

PETALING JAYA: Pelakon Hisyam Hamid bimbang lakonannya sebagai seorang ustaz yang menuntut dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran akan dipertikaikan oleh segelintir pihak terutamanya pengguna laman sosial.

Hisyam, 31, berkata, sehubungan itu pihak produksi bersetuju menyediakan seorang ustaz untuk memantau penggunaan ayat-ayat suci yang diucapkan dalam dialog drama berkenaan.

"Saya baru selesai penggambaran drama untuk siaran Ramadan berjudul Imam Mudaku Romantik bersama Syatila Melvin, apa yang saya bimbang ialah watak saya sebagai seorang ustaz moden yang banyak membaca beberapa surah dan hadis dipertikaikan segelintir pihak.

"Saya tahu tanggungjawab itu berat dalam skrip itu saya perlu ajar mengaji dan solat, saya sudah beritahu pihak produksi. Mereka juga sediakan seorang ustaz yang memantau sepanjang penggambaran itu," ujarnya kepada mStar Online.

Drama 16 episod ini merupakan terbitan Nuansa Filem Sdn Bhd ini akan disiarkan bermula 6 Jun depan di Astro Oasis.

Tambah Hisyam, dalam drama tersebut dia memeggang watak sebagai seorang ustaz yang bebas bergaul, namun mengutamakan faktor syariah.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya yang dikatakan kurang menyerlah, Hisyam berkata, dia tidak terlalu mementingkan populariti.

Katanya, apa yang lebih penting adalah untuk terus kekal relevan dan mendapat kepercayaan pengarah dan stesen televisyen.

"Saya tidak bimbang jika kurang popular, namun saya risau bagaimana untuk kekal relevan dalam industri.

"Alhamdulillah, walaupun kurang muncul di media atau dihimpit gosip, saya masih boleh bertahan dan menerima tawaran untuk membintangi drama. Itu lebih penting kerana ia adalah punca pendapatan saya," ujarnya.

Sementara itu, Hisyam berkata, dia juga bersyukur tiga tahun bergelar artis, dia bebas daripada dilanda gosip yang boleh menjejaskan namanya sebagai pelakon.

"Gosip itu bukan kita yang cari tapi ia datang sendiri, kalau boleh semua artis tidak mahu terpalit dengan gosip. Bagus juga berita saya tidak banyak keluar di media atau blog daripada keluar tetapi berita negatif," ujarnya.

Hisyam Hamid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain