suria

Ogy Minta Pelakon Yang Digandingkan Dengannya Buat Persiapan Awal

Fauziah raih trofi Pelakon Drama TV Wanita Terbaik di ASA 2016. Foto ROHAIZAT MD DARUS

PETALING JAYA: Pelakon Fauziah Ahmad Daud terbuka untuk bekerjasama atau bergandingan dengan mana-mana pelakon baharu dalam menjayakan sesebuah drama atau filem.

Bagaimanapun, Fauziah atau lebih mesra dipanggil sebagai Ogy berkata, mereka perlu memastikan membuat persiapan secukupnya terhadap watak diberikan sebelum memulakan penggambaran.

"Saya sentiasa terbuka dan memberi peluang untuk berlakon dan bergandingan dengan mana-mana pelakon baharu lelaki mahu pun perempuan tetapi mereka perlu bersedia sebelum memasuki set penggambaran.

"Saya cukup pantang kalau pelakon tidak buat research tentang watak dan tiada sebarang persediaan terhadap apa yang perlu dilakukan sebelum memulakan penggambaran," ujarnya kepada mStar Online.

Fauziah memenangi anugerah Pelakon Drama TV Terbaik menerusi drama Harus Terpisah di Anugerah Seri Angkasa (ASA 2016), yang diadakan di Dewan Perdana Angkasapuri, malam Sabtu.

Selain Fauziah, gandingannya dalam drama berkenaan pelakon Nasir Bilal Khan turut meraih anugerah Pelakon Drama TV Lelaki Terbaik pada malam kemuncak ASA 2016.

Drama Harus Terpisah disiarkan di Astro Ria tahun lalu.

Mengulas tentang kemenangannya, Fauziah berkata, antara faktor dia dapat memberikan lakonan yang mantap dalam drama berkenaan ialah disebabkan gandingannya iaitu Nasir Bilal Khan.

"Gandingan kita dalam drama atau filem menjadi faktor bagaimana tahap lakonan kita, kalau dia 'memberi' kita boleh buat yang terbaik.

"Nasir Bilal Khan seorang yang hebat dan dia sangat tahu karekter dia dalam drama itu. Saya ada cakap dengan dia bahawa dia boleh menang anugerah dengan drama ini dan akhirnya termakbul," ujarnya.

Drama berkenaan mengisahkan tentang kisah cinta dua pasangan suami isteri yang menghadapi dugaan di penghujung usia mereka apabila Pak Atan menghidap Alzheimer dan sering lupa siapakah isterinya dan ini menguji kesabaran Mak Yun untuk menghadapinya.

Sementara itu, Fauziah berkata, anugerah tersebut merupakan antara anugerah paling ditunggu-tunggu dalam kerjayanya sebagai pelakon.

Ia merupakan pencalonan kali ketiga buatnya sejak berusia 19 tahun.

"Kemenangan ini ialah pencalonan buat kali ketiga, pada pencalonan pertama saya berusia 19 tahun dan pencalonan kedua pada usia 30, namun kali ketiga ini yang membuahkan hasil," ujarnya.

Ogy, Fauziah Ahmad Daud, ASA 2016

Artikel Lain