suria

Anak Kedua Pelengkap Keluarga Zimi (Sofazr)

Zimi bersama isterinya dan anak sulung mereka yang kini berusia 11 bulan.

PETALING JAYA: Penyanyi Zimi dari kumpulan Sofazr menyifatkan kelahiran anak perempuan keduanya pada pagi Jumaat sebagai pelengkap rumah tangganya bersama isteri, Isma Salwana Ismail (33 tahun).

Zimi atau nama sebenarnya Zarimi Zahari, 32, berkata, kehadiran cahaya matanya itu membuatkan dia lebih bahagia dan bersemangat untuk bekerja lebih kuat demi keluarga.

"Saya bersyukur dan gembira apabila mendapat seorang lagi anak perempuan kerana tahu dia akan menjadi sahabat saya.

"Biasalah kebiasaannya anak perempuan lebih rapat dengan bapa malah anak sulung pun manja dengan saya.

"Kehadiran anak-anak melengkapkan rumah tangga kami dan saya perlu lebih tekun dalam pekerjaan demi keluarga saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zimi berkata, isterinya selamat melahirkan bayi kedua mereka pada pukul 5.45 pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.

Kata Zimi, dia dan isterinya sepakat untuk memberi nama Zerlinara Imani yang membawa maksud berkarisma dan beriman.

Inilah wajah anak kedua Zimi iaitu Zerlinara Imani yang lahir pada Jumaat.
"Alhamdulillah semuanya selamat dan bayi kedua ini seberat 3.5 kilogram dan dilahirkan betul-betul ketika waktu solat Subuh.

"Keadaan ibu dan anak dalam keadaan baik malah mereka telah pun dibenarkan untuk pulang ke rumah.

"Isteri saya yang memilih nama berkenaan dan saya setuju kerana ia membawa maksud yang baik," jelasnya.

Zimi turut mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Zerlinada Ikil yang bakal berusia setahun pada Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Zimi berkata, dia bersama kumpulan Akim & The Majistret  sibuk dengan beberapa persembahan dan rakaman program sempena Aidilfitri.

Terdahulu kumpulan itu muncul sebagai Personaliti Terunggul Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) yang diadakan pada 30 April lalu.

Selain itu, Akim & The Majistret turut membawa pulang trofi Grup Pilihan Online.

Zimi, Sofarz

Artikel Lain