suria

Mr Os Senang Didampingi, Baik Hati - Rakan Artis

Isteri Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau Mr. Os, Amimah Arrif (dua, kiri) menyiram air ke pusara suaminya selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Taman Seri Gombak, Jumaat. Pelakon dan pelawak veteran berusia 55 tahun itu meninggal dunia di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru. 
-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: "Arwah seorang yang senang didampingi dan sangat baik hati," kata pelakon Farouk Hussain mengenai pelawak terkenal  Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os.

Farouk, 49, yang juga seorang pelawak dan pengacara berkata beliau terkejut apabila menerima berita kematian rakannya itu melalui seorang rakannya.

Katanya kali terakhir beliau bertemu arwah pada tahun lalu ketika menjayakan rancangan Lagenda Pantun.

"Saya mulanya tidak percaya kerana sebelum ini ada yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian arwah ... tetapi kali ini betul-betul arwah sudah pergi meninggalkan kita.

"Arwah tidak sombong dan mudah bergaul, saya sangat terkesan dengan kehilangannya," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Sri Gombak Indah dekat sini kira-kira 7 malam ini selepas disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Kampung Sri Gombak Indah di Batu Caves.

Mr Os, 55, meninggal dunia kira-kira 3 petang tadi di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru setelah dimasukkan ke wad pada Isnin lepas.

Pelawak itu memulakan kerjayanya sebagai pelakon pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Antara drama dan filem yang dibintanginya termasuk Adik; O.K (Orang Kampung Otak Kimia); Cikgu Romantik dan Senario The Movie Ops Pocot.
Anak jati Perak itu juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu menerusi filem Mr. Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Allahyarham menerusi gandingannya dengan Abon (Sharizan Ahmad) dalam kumpulan 'Osbon' pula berjaya menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega pada 30 Disember 2011.

Mr Os, Farouk Hussain

Artikel Lain