suria

Seramai 236 Pekerja Belakang Tabir Terima Sijil Pengakuan Industri Kreatif

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima sijil pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Industri Kreatif 2015 di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia Malaysia (Finas) malam Khamis.
AMPANG: Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) menyampaikan sijil pengakuan sah industri kreatif 2016 kepada 236 ahlinya yang terdiri daripada pekerja-pekerja belakang tabir.

Pengerusi CCIG, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, pemberian sijil itu berdasarkan beberapa kriteria utama penerimanya iaitu pengalaman,  kemahiran, sumbangan dan pencapaian mereka sepanjang terlibat dalam industri.

"Profil ahli yang menerima sijil pengakuan ini akan dipaparkan di laman portal CCIG bagi menarik minat pelabur atau produksi tempatan dan antarabangsa.

"Mereka juga berpeluang menyambung pelajaran di peringkat sarjana di IPT, tidak kurang juga yang layak menjadi tenaga pengajar jemputan," ujarnya.
 

Barisan penerima sijil pengakuan sah industri kreatif 2016.

Jurey berkata demikian selepas majlis penyampian sijil pengakuan sah industri kreatif 2016, yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di sini, malam Khamis.

Antara penerima anugerah tersebut ialah penerbit Datuk A Aida, Ziela Jalil, Yusof Kelana, Gayatri Su-Lin Pillai dan Najib Jaafar. Turut menerimanya pengarah Yusmal Ghazali, Thore Ali, Zulkifly Kassim dan Dennes Kumar Ragupathy.

Tambah Jurey, penubuhan CCIG yang ditubuh lebih empat tahun ini semakin mendapat perhatian pekerja-pekerja belakang tabir.

"Dua tahun lalu kami sudah memberi kepada 166 orang ahli dalam sebuah majlis yang dibuat secara sederhana sahaja dan secara keseluruhan kini sudah 402 ahli mendapat sijil pengakuan sah ini daripada 6,284 yang berdaftar di bawah CCIG," ujarnya.

Ia dapat meningkatkan tahap profesionalisme pengamal industri melalui proses pengakuan sah dengan menggunakan kerangka Kandungan Kreatif Rangka Kerja Pengiktirafan Industri (CCIRF).

Dalam pada itu, Jurey berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menganjurkan kursus dan latihan bertujuan untuk menambah kemahiran ahli-ahli CCIG pada masa akan datang.

Sijil disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Datuk Jailani Johari.

Hadir sama Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Timbalan Pengarah Finas Khalidah Mohd Darus.

CCIG

Artikel Lain