suria

Penyanyi Hazman Cuba Nasib Sertai Program Realiti TV Indonesia

Hazman cuba peluang perkenal diri di negara jiran.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazman gembira apabila tersenarai antara lima orang artis dari Malaysia yang layak menyertai program realiti televisyen D Academy Indonesia yang mula bersiaran di Indosiar bermula 13 November ini.

Hazman atau nama sebenarnya Syed Muhammad Hazman Syed Yusof, 27, berkata, peluang tersebut akan digunakan sebaiknya sebagai percubaan untuk memperkenalkan diri sebagai seorang penyanyi selepas tiga tahun berada dalam industri.

"Alhamdulillah, nama saya berjaya tersenarai dalam pertandingan realiti di Indonesia yang melibatkan empat negara iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Saya akan jadikan peluang ini untuk mengetengahkan nama saya sebagai seorang penyanyi di negara ini dan negara jiran itu," ujarnya kepada mStar Online.

Antara artis lain yang terpilih menyertai program anjuran stesen televisyen Indosiar itu ialah Mimi One Nation Emcee, Shiha, Fitri dan Syuhada.

Hazman yang bernaung dibawah label Suria Records ini sudah merakamkan tiga buah single berjudul Cinta Jangan Pergi, Hidup Ini Indah dan Tersiksa.

Hazman sudah bersedia untuk sertai pertandingan tersebut.


Dalam pada itu, tambahnya, biarpun gementar, namun dia yakin dapat memberi persaingan terhadap peserta-peserta pertandingan tersebut.

"Saya sangat teruja dan bersyukur diberi kepercayaan oleh Suria Records untuk bersaing dengan penyanyi lain yang ternama.

"Setakat ini persediaan dikatakan sudah 80 peratus cuma perasaan gementar sahaja yang semakin kuat. Insya-Allah juga saya akan beri kelainan dalam persembahan-persembahan saya nanti," ujarnya.

Hazman berkata, dia juga sudah bersedia untuk membawakan lagu-lagu genre dangdut yang mendapat sambutan di negara jiran itu.

Katanya, format pertandingan nyanyian tersebut adalah berdasarkan markah sepenuhnya daripada juri profesional dan setiap minggu akan ada penyingkiran.

"Program tersebut diadakan setiap minggu dan akan ada peserta yang terkeluar jika mendapat markah rendah daripada juri profesional.

"Saya akan bertolak ke Indonesia pada 10 November ini," ujarnya.
Hazman, Suria Records

Artikel Lain