suria

Asmidar Dipilih Jadi Junaidah Dalam 'P.Ramlee The Musical'

Asmidar cuba bidang teater untuk kembangkan kerjaya seni.
PETALING JAYA: Penyanyi Asmidar memberitahu dia seolah-olah tidak percaya apabila dipilih untuk memegang watak utama sebagai Junaidah dalam pementasan teater jelajah P.Ramlee The Musical "Dari Penang Ke Singapura" yang bakal dipentaskan pada Ogos hingga September ini.

Asmidar atau nama sebenarnya Nor Hasmidar Ahmad, 29, berkata, dia terpaksa membuang masalah kurang keyakinan dan perasaan takut untuk terjun ke bidang baharu iaitu di pentas teater ini.

"Secara jujurnya saya seperti tidak percaya apabila dipilih untuk terlibat dalam produksi ini. Saya terima tawaran ini kerana saya nak cuba bidang baru dan ingin keluar dari zon yang saya rasa sudah selesa sebagai seorang penyanyi.

"Sudah tentu rasa takut dan gementar. Kurang keyakinan diri menjadi cabaran utama saya kerana tiada pengalaman sebagai pelakon berbanding artis lain dalam teater ini," ujarnya kepada mStar Online

Aznil (dari kiri) Asmidar bersama pengarah teater Pet Ibrahim.

Asmidar ditemui pada sidang media jelajah teater P.Ramlee The Musical "Dari Penang Ke Singapura" musim keempat di Enfiniti Vision Media, di sini, Jumaat.

Watak Junaidah yang merupakan isteri pertama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada musim-musim sebelum ini dibawa oleh penyanyi Atilia dan pelakon terkenal Lisa Surihani.

Teater tersebut bakal dipentas di Dewan Sri Penang, Georgtown, Pulau Pinang pada 28 hingga 30 Ogos, manakala di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Nusajaya, Johor pada 4 hingga 6 September depan.

Sementara di Panggung Seri Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka pada 11 hingga 13 September.

Dalam pada itu, Asmidar berkata, dia berbangga apabila diberi peluang untuk memikul tanggungjawab tersebut dan berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik.

"Saya rasa tanggungjawab ini sangat besar kerana saya bukan artis yang ternama seperti pelakon sebelum ini iaitu Lisa Surihani. Enfiniti pula satu produksi yang mempunyai nama besar dalam bidang teater ini.

"Jangkaan penonton pula sudah pastinya tinggi kepada watak Junaidah ini. Oleh itu saya perlu berlatih untuk berikan yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, pengarah teater berkenaan iaitu Pet Ibrahim berkata, Asmidar mempunyai perwatakan dan personaliti tersendiri yang dilihat sangat dekat dengan watak Junaidah.

Katanya, kelebihan suara penyanyi itu dalam melontarkan lagu-lagu Melayu klasik turut menjadikan dia sebagai pilihan utama dalam teater tersebut.

"Selepas mendapat tahu Lisa Surihani tidak dapat menyertai kami pada musim ini, saya terus mencari siapa yang paling sesuai untuk bawa watak Junaidah.

"Nama Asmidar merupakan nama terakhir dalam senarai kami, namun selepas dinilai senarai artis-artis lain, dia adalah yang paling dekat dengan watak itu," ujarnya.

Katanya, Asmidar juga sebelum ini pernah terlibat secara tidak langsung dalam projek pementasan Puteri Gunung Ledang pada 10 tahun lalu.

"Bakat dia kami nampak sudah lama iaitu pada pementasan Puteri Gunung Ledang dan dia terlibat dalam bengkel pementasan tersebut.

"Dia juga orang pertama yang menyanyikan lagu-lagu dalam Puteri Gunung Ledang sebelum dinyanyikan semula oleh Puan Seri Tiara Jacquelina," ujarnya.

Teater P.Ramlee The Musical "Dari Penang Ke Singapura" ini turut melibatkan pelakon seperti Tony Eusof, Nadia Aqilah dan Datuk Aznil Nawawi.

Tiket berharga RM83 hingga RM203 boleh didapati dengan melayari www.tiketpro.com.my atau hubungi talian 03-61429877.
Asmidar, P.Ramlee The Musical

Artikel Lain