suria

Ibu Johan As'ari Meninggal Dunia

Johan memaklumkan ibunya, Allahyarham Datin Firdaus Abdul Kader meninggal dunia pada Sabtu. Al-Fatihah.

PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Johan As'ari, Datin Firdaus Abdul Kader meninggal dunia pada Sabtu.

Johan memaklumkan berita berkenaan menerusi laman Instagram miliknya kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Assalamualaikum, dengan rendah hati Johan ingin memberitahu bahawa ibunda saya yang tercinta, Firdaus bte. Abdul Kader telah kembali ke rahmatullah.

"Mohon sobat-sobat (sahabat) mendoakan yang terbaik untuk ibu saya dan semoga ibunda saya ditempatkan bersama dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," tulisnya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan di Institut Kanser Negara sebelum dibawa pulang ke kediaman dan dijangka akan dikebumikan di Masjid Al Irsyad USJ 1 selepas solat Asar.

Terdahulu, menerusi laporan mStar Online bertarikh 20 Mac, Johan memaklumkan Firdaus, 58, diserang penyakit strok (angin ahmar) ketika sedang berehat di ruang tamu kediaman mereka di Subang Jaya, dekat sini.

Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan dan keadaannya ketika itu dilaporkan stabil.

Johan kemudiannya memberitahu ibunya disahkan menderita kanser tulang peringkat empat dan dipindahkan ke Institut Kanser Negara, Putrajaya sejak tiga minggu lalu.

Johan As'ari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain