suria

Gafim Tiada Niat Boikot Finas Anjur FFM 26

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli.

PETALING JAYA: Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata pihaknya tiada niat untuk memusuhi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ataupun memboikot penganjuran Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM 26) yang bakal berlangsung pada 1 November depan.

Malah Jurey berkata, Gafim juga keliru dengan kenyataan pihak Finas yang mendakwa persatuan seni bersikap dingin untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan penganjuran acara tersebut.

"Sebenarnya sejak awal tiada sebarang perbincangan dibuat oleh Finas dengan Gafim untuk menentukan lokasi, tarikh, calon dan perkara penting lain berkaitan FFM 26. Mereka lebih tahu apa sebenarnya yang terjadi dan jawapan ada pada tangan mereka," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Terdahulu, Pengarah projek FFM 26, Mohd Zulkifli Ab. Wahab meluahkan rasa kesal terhadap persatuan-persatuan seni di negara ini yang bersikap dingin untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan acara tahunan festival itu.

Zulkifli yang juga Pengarah Pembangunan Industri Finas berkata, sepatutnya 15 persatuan seni termasuk yang bergabung bawah Gafim memberi kerjasama dalam melakukan persiapan FFM 26 tetapi hanya beberapa sahaja yang terlibat.

FFM 26 akan diadakan di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.

Ia bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria pada pukul 8.30 malam.

Tambah Jurey, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap apa juga tindakan Finas yang ingin menganjurkan FFM 26 tanpa campur tangan Gafim seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

"Gafim ditubuhkan untuk menganjurkan FFM tetapi apabila Finas mengambil keputusan untuk menganjurkan tanpa Gafim pada tahun ini, kami tetap beri sokongan kerana festival ini diadakan untuk meraikan industri perfileman negara.

"Saya mewakili Gafim ingin mengucapkan tahniah kepada Finas kerana akhirnya berjaya menetapkan tarikh dan lokasi FFM26 yang sudah beberapa kali tertangguh," ujarnya.

Mengulas mengenai ketidakhadiran wakil Gafim pada sidang media yang berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya pada Selasa lalu itu Jurey berkata, ia disebabkan pertukaran hari dan waktu sidang media tersebut pada saat-saat akhir yang menyukarkan pihaknya untuk hadir.

"Sidang media itu sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu namun pada saat-saat akhir ia dibatalkan. Kelewatan pemberitahuan itu menyebabkan saya tidak dapat menukar jadual bagi menghadiri sidang media berkenaan," ujarnya.

Selain Presidan Gafim, Jurey juga memegang jawatan sebagai Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Jurey Latiff Rosli, Gafim, Finas, FFM26.

Artikel Lain