suria

Tiada Hak Eksklusif Siar Wajah Anak - Awal Ashaari

Awal akan menggunakan media sosial untuk memperkenalkan anaknya selepas Scha selesai berpantang.

PETALING JAYA: Pengacara program Melodi, Awal Ashaari tidak akan memberikan sebarang hak eksklusif kepada mana-mana media cetak atau elektronik bagi memperkenalkan anak perempuannya kepada umum selepas isterinya, aktres Scha Al-Yahya selesai berpantang.

Awal, 33, sebaliknya berkata, dia akan menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook bagi memuat naik gambar anaknya yang dikenali sebagai Lara kepada para peminatnya.

"Selain media cetak dan elektronik kami juga tidak memberi hak eksklusif itu kepada mana-mana stesen TV dan akan menggunakan media sosial kami untuk memperkenalkan wajah dan nama penuh Lara kepada peminat.

"Setakat ini kami tidak ada membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak dan lebih selesa dengan cara itu lebih adil kepada semua pihak," katanya kepadamStar Online.

Scha selamat bersalin kira-kira pukul 5.50 petang pada 22 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur dan bayi perempuan seberat 3.17 kilogram itu dilahirkan secara normal.

Pasangan itu berkahwin pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.



Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusannya untuk tidak memaparkan wajah anaknya kepada umum sehingga dikritik hebat peminat, Awal berkata, dia menghormati Scha yang masih berpantang dan mahu isterinya itu sendiri memperkenalkan Lara kepada peminat.

Bagi Awal, perasaan Scha menjadi keutamaan kepadanya berbanding perkara lain selain tidak mengambil kisah tentang apa yang ingin diperkatakan oleh pihak lain tentang keputusannya itu.

"Tidak letak salah, tunjuk pun salah. Apa pun yang keputusan yang kami buat pasti akan dipandang buruk oleh orang lain jadi kami buat apa yang dirasakan terbaik.

"Scha masih berpantang dan biarlah dia kembali pulih dahulu dan seperti dijanjikan apabila selesai sahaja berpantang dia sendiri akan memperkenalkan anak kami.

"Apabila melihat sendiri kesusahannya melahirkan anak kami saya tidak mahu perasaannya terguris dan apa juga orang hendak kata tentang kami itu adalah pilihan mereka," jelasnya.

Bagaimanapun kata Awal, sebagai bapa dia terguris hati apabila ada yang mempersendakan nama anaknya dan menganggap ia tidak sepatutnya menjadi pertikaian.

"Itu adalah pilihan kami dan sudah tentu kami telah buat kajian sebelum memberikan nama tersebut dan ia membawa maksud yang baik dalam bahasa lain," ujarnya.

Sementara itu, Awal berkata, buat masa ini dia menolak sebarang tawaran di luar Lembah Klang bagi memberikan tumpuan selain meluangkan lebih masa kepada isteri dan anak mereka di rumah.

Awal memberitahu, pengalaman bergelar bapa adalah sesuatu yang luar biasa dan Lara mengajarnya pelbagai perkara setiap hari.

"Pengalaman jaga anak, mandikan dia dan berjaga di malam hari apabila dia terjaga adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia saat indah buat kami berdua," jelasnya.

Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Lara.

Artikel Lain