suria

Sepupu Hattan Antara Mangsa Nahas Pesawat MH17

Hattan
PUTRAJAYA: Sepupu kepada penyanyi Datuk Mohd Shukri Sahabuddin atau Hattan adalah antara mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine malam Khamis.

Beliau berkata sepupunya Dora Shahila Kassim merupakan Ketua Pramugari yang bertugas dalam pesawat itu.

Ditemui pemberita selepas majlis taklimat untuk waris mangsa di sebuah hotel di sini pada Jumaat, Hattan berkata, beliau terkejut ketika menerima berita mengenai nahas pesawat Boeing 777 itu melalui aplikasi WhatsApp daripada isterinya Arianie Mohd Abidin.

"Isteri saya ialah bekas pramugari dan sesetengah rakannya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) dan WhatsApp kepadanya (mengenai nahas).

"Kemudian saya mendapatkan kepastian daripada Internet dan laporan berita. Saya dan isteri amat terkejut sehingga tidak tahu nak kata apa-apa," katanya.

Gambar kenangan Dora Shahila (kanan) bersama anaknya.


Hattan berkata turut terbabit dalam nahas ialah saudara terdekatnya Sherliza Zaini, 45, yang menaiki pesawat bersama suami dan tiga orang anak mereka.

Mereka sepatutnya ke Melbourne, Australia apabila transit di Kuala Lumpur.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Jumaat berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu telah ditembak. - BERNAMA
Hattan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain