suria

Rakyat Malaysia Kurang Layak Jadi Runaway Model - Nasha Aziz

Nasha kesal wajah tempatan sukar diberi perhatian di pentas peragaan.
PETALING JAYA: Pelakon dan model Nasha Aziz mengakui terkilan apabila industri peragaan di negara ini lebih banyak menggunakan khidmat tenaga kerja asing berbanding tempatan.

Bagaimanapun, Nasha, 44, berkata, dia memahami situasi tersebut berikutan kekurangan rakyat negara ini yang mempunyai kriteria untuk berjalan di pentas peragaan.

“Saya kecewa dan sedih dengan industri peragaan sekarang yang lebih mementingkan warga asing berbanding rakyat Malaysia.

“Namun saya faham, syarikat korporat yang mahu mengiklankan produk mereka inginkan model yang menepati kriteria dan ia susah didapati pada rakyat Malaysia,” katanya kepada Mstar Online.

Nasha berkata, dia pernah menerima tawaran syarikat korporat dan stesen televisyen untuk sebuah program realiti pencarian model, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan masalah tersebut.

Jelas Nasha, kebanyakan rakyat negara ini hanya memenuhi kelayakan menjadi peragawati majalah sahaja.

“Saya pernah ditawarkan untuk program pencarian model tetapi tidak jadi kerana masalah ini, rakan saya Amber Chia juga memberitahu terpaksa pergi ke seluruh Malaysia untuk mencari namun tidak berhasil.

“Seorang peragawati untuk pentas peragaan perlu kurus dan tinggi, manakala wajah pula bukan kriteria utama,” jelasnya.

Tambah Nasha, untuk menjadi seorang peragawati memerlukan ketinggian tidak kurang daripada 173 sentimeter dan berat tidak melebihi 52 kilogram bagi wanita.

Dalam pada itu, dia juga menzahirkan rasa kecewa terhadap kelonggaran syarat terhadap penglibatan peragawati luar bekerja di negara ini.

Jelasnya, kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk mengutamakan wajah tempatan dalam setiap produk yang dipasarkan di negara ini.

“Kalau di negara luar seperti Indonesia ada undang-undang sendiri yang mana setiap produk luar perlu menukar kepada wajah tempatan negara mereka sebelum dipasarkan.

“Di Malaysia, saya lihat lebih terbuka kepada orang luar, kasihan kepada model tempatan kerana mereka terpaksa bersaing dengan warga asing untuk bekerja di negara sendiri,” katanya.

Nasha Aziz, Amber Chia, Peragaan

Artikel Berikut

Artikel Lain