suria

Pereka Fesyen Berebut Taja Baju Kahwin Syanie

Syanie bersyukur mendapat pelbagai tajaan daripada ramai pihak untuk majlis perkahwinannya.
Syanie bersyukur mendapat pelbagai tajaan daripada ramai pihak untuk majlis perkahwinannya.

PETALING JAYA: Pelakon dan bekas peserta program MasterChef Malaysia All Star, Syanie terkejut apabila ramai pereka fesyen terkenal tampil untuk menaja baju perkahwinannya dengan Nadi Putera Mohd Zainol pada 1 Mac depan.

Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, 41, berkata, mereka berminat untuk berbuat demikian kerana saiz fizikalnya yang besar dan ingin menunjukkan kepada umum wanita berbadan sepertinya masih boleh berfesyen pada hari perkahwinan.

"Saya benar-benar terkejut kerana ramai yang ingin menaja baju pernikahan dan majlis resepsi saya nanti sehingga ada di antara mereka terpaksa saya tolak dengan baik kerana tidak memerlukan banyak persalinan pada hari itu nanti.

"Tidak sangka walaupun fizikal saya besar rupa-rupanya masih ada yang ingin menaja dan ingin melihat saya kelihatan cantik pada hari bahagia itu nanti," katanya kepada mStar Online.

Syanie ditemui pada majlis tayangan perdana program MasterChef Malaysia All Star episod terakhir di First Aveneu Bandar Utama di sini, malam Selasa.

Syanie dan Nadi Putera Mohd Zainol, 29, bakal disatukan di sebuah resort di Chenang, Pulau Langkawi, Kedah.

Dalam perkembangan sama, Syanie berkata, walaupun mengadakan majlis tersebut di Pulau Langkawi namun dia terharu apabila penaja lain seperti katering dan hiasan sanggup terbang ke sana bagi memastikan semua tersedia untuknya.

"Alhamdulillah murah rezeki saya dan wang yang dapat dijimatkan dapat menampung kos penerbangan dan tempat tinggal untuk ahli keluarga sepanjang berada di sana nanti," katanya.

Sementara itu, Syanie berkata, dia juga tidak memaksa sekiranya tetamu tidak dapat menghadirkan diri ke majlis perkahwinannya kerana memahami faktor logistik yang agak jauh.

Kata Syanie, dia juga mendapat rungutan daripada rakan-rakan tentang lokasi yang dipilih tetapi menjadi impiannya untuk mengadakan sebuah majlis berkonsepkan tepi pantai dan santai.

"Saya jangkakan hanya 200 orang akan hadir nanti kerana mungkin bagi sesetengah tetamu, sukar untuk mereka ke sana kerana perlu menaiki kapal terbang dan mencari tempat tinggal.

"Langkawi dipilih kerana banyak kenangan pahit manis di situ memandangkan saya juga pernah tinggal di sana selama sebulan ketika menjalani penggambaran filem Cinta Luar Biasa," ujarnya.

Sementara itu, Syanie berkata, dia tidak pernah melihat perbezaan usia 12 tahun dengan Nadi Putera sebagai satu masalah kerana paling penting keserasian apabila bersama.

Jelas Syanie, dia selesa berkomunikasi dengan Nadi Putera selain pemuda berkenaan seorang yang mudah dibawa berbincang apabila timbul sesuatu masalah.

"Usia bukan isu utama kerana paling penting keserasian kami bersama dan berharap peminat dan keluarga mendoakan kebahagiaan kami supaya berkekalan ke akhir hayat," katanya.

Pasangan itu terdahulu mengikat tali pertunangan pada Aidilfitri tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain