suria

Faizal Ismail Tepis Tinggalkan Hot FM Kerana Krisis Dalaman

Faizal Ismail nafi ada konflik dalaman dengan pengurusan.
Faizal Ismail nafi ada konflik dalaman dengan pengurusan.
Faizal Ismail nafi ada konflik dalaman dengan pengurusan.

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM iaitu Faizal Ismail menepis tuduhan peletakan jawatannya yang diumumkan secara mengejut sebelum ini disebabkan menghadapi krisis dengan pihak pengurusan stesen radio berkenaan.

Faizal atau nama sebenar Mohd Faizal Ismail, 37, berkata, peletakan jawatan itu merupakan satu keputusan untuk dia menumpukan perhatian terhadap perniagaan yang diceburinya.

"Saya berhenti bukan kerana ada masalah dalaman dengan pihak pengurusan tapi saya memang nekad untuk berhenti daripada tugasan rutin sebagai penyampai radio.

"Mungkin kerana sebelum ini saya tidak pernah berbincang dengan sesiapa mengenai hal ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gosip di sebuah akhbar tempatan yang mendakwa peletakan jawatannya berikutan krisis dalaman dengan pihak pengurusan stesen tersebut.

Tambah Faizal, dia ingin menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap syarikat produksi FBI Entertainment yang baru ditubuhkannya kira-kira dua bulan lalu.

Dalam pada itu, dia juga sedang dalam proses untuk membuka sebuah kedai motosikal hasil usaha sama dengan sebuah syarikat permotoran.

"Saya mahu cuba bidang lain terutamanya dalam penerbitan program-program untuk televisyen dan penganjuran majlis.

"Selain itu juga, buat masa ini saya dalam proses membuka kedai motosikal perbagai jenis yang mana saya melihat potensi terhadap bidang itu sangat bagus," katanya.

Sementara itu, Faizal yang hampir lapan tahun menjadi penyampai di Hot FM bakal mengakhiri tugasan mengendalikan rancangan AM Krew bersama Farah Fauzana dan AG pada Jumaat (hari ini).

Bagaimanapun, dia masih mengendalikan rancangan hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad secara sambilan.

"Saya takut kalau saya merindui kerja ini, jadi saya terima tawaran Hot FM yang memberikan saya untuk mengendalikan segmen pada hujung minggu sahaja," katanya.

Ditanya apa yang benar-benar membuatkannya mahu keluar daripada bidang tersebut, Faizal berkata, dia tidak mahu berada di tahap yang sama dalam tempoh yang panjang.

"Saya rasa sudah sampai masa untuk saya berhenti dan cuba perkara baharu. Saya tidak mahu menjadi penyampai radio untuk selama-lamanya.

"Ini semua bukan kerana duit dan pendapatan tetapi kepuasan terhadap pencapaian diri saya sendiri," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain