suria

Teater 'Bahayanya Wanita' Tidak Rendahkan Kehidupan Bermadu

Umie Aida
Umie Aida
Umie Aida

PETALING JAYA: Teater Bahayanya Wanita akan mendedahkan kehidupan berpoligami bakal dipentaskan pada 20 hingga 31 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya tidak bertujuan untuk merendahkan konsep keluarga tersebut.

Penerbit dan juga pelakon, Umie Aida berkata, masyarakat perlu memandang ia dari sudut positif yang sememangnya berlaku dalam kehidupan realiti.

"Kita tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan kehidupan pasangan yang berpoligami, ia hanya untuk mengupasnya melalui apa yang realitinya berlaku dalam kehidupan yang terjadi dalam masyarakat kita.

"Kita akan pentaskan ia dalam bentuk komedi ringan yang mana jika sesiapa yang melaluinya akan lebih terasa," katanya ketika ditemui selepas sidang media teater Bahayanya Wanita, di Istana Budaya, di sini, Jumaat.

Tambah Umie, teater bergenre komedi dipilih berikutan tren penonton yang lebih gemar kepada bahan jenaka dan santai berbanding drama berat.

"Pada asalnya kami memang ingin menerbitkan teater yang berat seperti Badai Semalam, namun apabila melihat kepada industri kita sekarang tidak begitu bagus, kami tukar kepada genre komedi.

"Tren penonton sekarang juga lebih kepada cerita yang ringan dan kelakar kerana mungkin disebabkan tekanan kerja membuatkan mereka memilih untuk sesuatu yang lebih menghiburkan," katanya.

Sementara itu, Umie turut tidak menolak, pemilihan pelakon popular membarisi teater tersebut bertujuan untuk menarik lebih ramai penonton ke Istana Budaya.

"Tidak dinafikan bajet kita agak besar juga kerana pemilihan pelakon yang popular, namun bagi saya ia adalah salah satu cara pemasaran untuk menarik lebih ramai penonton datang menyaksikan teater.

"Kita tahu pelakon-pelakon yang kita pilih ini mempunyai pengikut tersendiri," katanya.

Teater yang diterbitkan oleh Frensis Sdn Bhd ini turut dibarisi Erra Fazira, Zizan Razak, Nora Danish dan Johan Ashari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain