suria

Pusara P.Ramlee, Saloma Layak Dibaiki Kerana Jasa

Aznil Nawawi menyiram air mawar ke pusara P.Ramlee. Foto BERNAMA
Aznil Nawawi menyiram air mawar ke pusara  P.Ramlee. Foto BERNAMA
Aznil Nawawi menyiram air mawar ke pusara P.Ramlee. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk Aznil Nawawi menyifatkan pembinaan semula pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma adalah tindakan wajar dan tidak perlu dipertikaikan.

Aznil, 53, berkata, ia adalah satu penghormatan kepada bintang legenda negara dengan mengenang jasa mereka.

"Pada saya kos yang dipertikaikan itu hanya sederhana sahaja jika dibandingkan dengan jasa kedua-dua ikon ini dalam industri hiburan kita.

"Bagi generasi akan datang pula yang tidak kenal P.Ramlee boleh datang menziarahi pusaranya. Setidak-tidaknya kita ada pusara yang ingin ditunjukkan kepada mereka," katanya ketika ditemui pada majlis bacaan tahlil di pusara berkenaan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, di sini, Jumaat.

Tambahnya, jika pembinaan semula itu tidak dilakukan atau dilakukan secara ala kadar ia akan tetap menjadi buah mulut masyarakat.

Sementara itu, bagi seniwati Mariani Ismail, 80, selepas kejadian dihempap pokok, pihaknya selaku waris Allahyarham bercadang membaikinya sendiri namun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menawarkan untuk bertanggungjawab.

"Saya rasa bersyukur dan gembira kerana semuanya selesai dan ia boleh diziarahi semula. Ketika kejadian itu, kami sekeluarga berpakat untuk menanggung kos pembaikan namun Alhamdulillah Finas tampil untuk bertanggungjawab dalam kos pembinaan semula itu.

"Walaupun kedua-dua mereka sudah lama pergi meninggalkan kita, namun ingatan saya kepada kedua-dua insan ini sangat kuat, ditambah pula filem-filem lakonan mereka masih lagi ditayangkan di televisyen," katanya.

Sementara itu, Datuk Mustapha Maarof, 78, meminta agar tanggungjawab dan kebajikan seperti ini perlu dilakukan secara berterusan bukan hanya kepada anak seni yang masih hidup sahaja, sebaliknya juga yang telah pergi.

"Kita berterima kasih kepada pihak-pihak yang bekerjasama membantu dalam membela nasib insan seni yang telah pergi.

"Kalau boleh lebih ramai anak seni yang tampil beri penghormatan dalam aktiviti sebegini dan tidak bantuan seharusnya diperbanyakkan lagi bukan hanya kepada yang masih hidup tetapi juga yang sudah pergi," katanya.

Majlis tahlil atau doa selamat seharusnya dijadikan acara tahunan sebagai penghormatan kepada insan seni yang telah meninggal dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain