suria

Malam Gala Inspitari Angkat Tarian Tradisional

PETALING JAYA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal menganjurkan persembahan tarian tradisi dan moden menerusi Malam Gala Inspitari pada Jumaat dan Sabtu ini.

Majlis yang turut mendapat kerjasama dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) itu akan berlangsung pada pukul 8.30 malam di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, dekat sini.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Inspitari Seni merupakan sebuah program bagi menterjemahkan karya tari lama dan ‘authentic’ atau olahan tari baru yang sarat dengan elemen tradisi dan tempatan agar lebih relevan dalam arus industri tari mahu pun seni persembahan.

"Inspitari pada tahun ini menyaksikan kesemua 16 tarian yang diolah semula ini diberi nafas segar dari segi pergerakan dinamik mahupun susunan lagu dan busana.

"Sebanyak 16 tarian yang melibatkan 16 orang koreografer menyertai acara itu dengan pembabitan 268 orang Artis Budaya di bawah JKKN.

“Apa yang dipersembahkan mungkin bukan sempurna sepenuhnya, namun setidak-tidaknya, idea baru dan garapan segar mula dibenihkan melalui persembahan ini," katanya menerusi kenyataan media yang die-melkan kepada mStar Online di sini pada para Rabu.

Tambah Norliza, hasil idea kreatif ini akan menjadi satu bentuk 'repertoire' apabila JKKN mengadakan persembahan sama ada dalam mahupun luar negara bersesuaian dengan produk seni tari sebagai salah satu daya tarikan pelancong ke Malaysia.

Dalam pada itu, kesemua kumpulan turut melalui pengisian program seperti bengkel dan latihan di mana tugasan yang diberikan adalah seperti menghasilkan atau mengolah semula tarian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain