suria

Isu Kongsi Gelap Tidak Jejaskan Filem 'Dampak'

Dampak adalah filem komersil pertama arahan Lai.
Dampak adalah filem komersil pertama arahan Lai.
Dampak adalah filem komersil pertama arahan Lai.

PETALING JAYA: Pengarah filem Dampak iaitu Lai Yuk Long tidak bimbang jika karya arahannya itu mendapat reaksi negatif daripada penonton ekoran memaparkan kisah mengenai kumpulan kongsi gelap menerusi jalan ceritanya.

Lai berkata, walaupun kegiatan kongsi gelap menjadi isu ketika ini namun karyanya itu tidak mempromosikan budaya buruk berkenaan sebaliknya memaparkan sebuah kisah fiksyen yang sarat dengan adegan aksi.

"Saya tidak melihat isu semasa yang sedang hangat diperkatakan itu akan memberi impak negatif kepada filem ini tetapi ia perlu dilihat pada sudut positif.

"Tambahan pula ini adalah sebuah filem aksi dan jalan cerita yang dipaparkan bukan realiti dan hanya fiksyen semata-mata," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di e@Curve di sini pada Khamis.

Filem yang bakal ditayangkan pada 19 September itu menampilkan barisan pelakon seperti Aaron Aziz, Farid Kamil, Intan Ladyana, Juliana Evans, Michael Chin dan Cat Farish.

Malah kata Lai, Dampak secara keseluruhannya membawa tema persahabatan, kekeluargaan dan banyak memaparkan pengajaran sekiranya tidak memilih jalan benar dalam hidup.

"Saya memberikan nama filem ini 'Dampak' kerana ia membawa maksud 'impak' dan jika melihat pada jalan ceritanya ia menggambarkan kesan terhadap perbuatan seseorang jika tersalah langkah dalam hidup," kata Lai.

Dalam pada itu, Lai berkata, dia berbangga dengan barisan pelakon filem berkenaan yang berjaya melakukan watak-watak aksi dengan baik tanpa bantuan pelakon aksi ngeri.

Jelas Lai, komitmen yang diberikan oleh kesemua para pelakon sangat tinggi dan mereka juga banyak memberikan input dalam memastikan karyanya itu dapat dihasilkan dengan baik.

"Ini adalah filem komersil pertama yang pernah saya hasilkan dan kesungguhan semua pelakon memudahkan kerja-kerja penggambaran yang mengambil masa selama 22 hari.

"Walaupun Farid tercedera semasa melakukan salah satu babak aksi dalam filem ini tetapi dia tetap bersemangat untuk meneruskan penggambaran," ujarnya.

Sementara itu, Lai berkata, dia menekankan tumpuan kepada babak aksi dan banyak mengaplikasikan konsep grafik berbentuk novel bagi memberikan impak seni kepada filem itu.

"Kita bukan sahaja mahu menonjolkan babak pergaduhan itu tetapi ingin menterjemahkannya dalam bentuk seni supaya dapat memberi kesan segar kepada penonton," jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain