suria

'The Undercover' & 'The Game 2' Tarikan Utama Penonton ntv7

PETALING JAYA: Dua buah drama tempatan iaitu The Undercover dan The Game 2 berjaya menarik perhatian penonton dengan mendapat tontonan tertinggi di stesen televisyen ntv7.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul, The Undercover berjaya mengutip rating tertinggi buat saluran itu menerusi slot waktu perdananya pada pukul 9.30 malam dengan peratusan perkongsian penonton berbangsa Cina sebanyak 42 peratus (%) sepanjang 30 episod siarannya.

"Siri itu mendapat sambutan bermula episod ke-16 dengan hampir 700,000 penonton di mana ia mewakili peratusan 48% bagi perkongsian penonton Cina.

"Drama bersiri itu disiarkan sempena ulang tahun ke-15 ntv7 serta membariskan nama besar pelakon Cina tempatan seperti Adrian Tan, Aenie Wong, Karena Teo dan Ernest Chong.

"Malah mengikut kajian media Nielsen, ia merupakan drama yang mendapat tontonan tertinggi pada bulan Ogos," kata Airin menerusi sebuah kenyatan media yang diemelkan kepada mStar online.

The Game 2 pula disiarkan sempena Festival Hantu Lapar pada 20 Ogos dan berjaya menarik seramai hampir 600,000 penonton iaitu 45% perkongsian peratusan penonton Cina.

Manakala platform di atas talian (online) turut menerima sambutan baik seperti drama The Game (siri pertama) iaitu sebanyak 7,000 pengunjung dalam masa hanya beberapa hari.

"The Game 2 membuktikan bahawa ia merupakan sebuah drama revolusi kerana popularitinya menerusi sosial media memberikan impak yang kuat kerana konsepnya yang berbeza.

"Perbincangan menerusi Facebook mengenai konsep dan isu siapakah yang menjadi pembunuh sebenar juga meningkat sebanyak 800% sepanjang dua minggu. Berdasarkan statistik yang ditunjukkan di laman rasmi Facebook The Game 2, peminat yang menekan butang “Like” juga meningkat 200%," ujar Airin. Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang rasmi Saluran Ceria Anda di www.ntv7.com.my, serta ikuti laman Facebook ntv7Chinese, ntv7localdrama, laman rasmi FacebookThe Game 2 dan laman Weibo ntv7. Rancangan ntv7 juga boleh ditonton di www.tonton.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Lain