suria

Gafim Tuntut Enam Perkara Kepada PM

Jurey bakal bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 April ini untuk berbincang mengenai tuntutan dan cadangan Gafim untuk memajukan industri kreatif di Malaysia.
Jurey bakal bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 April ini untuk berbincang mengenai tuntutan dan cadangan Gafim untuk memajukan industri kreatif di Malaysia.
Jurey bakal bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 April ini untuk berbincang mengenai tuntutan dan cadangan Gafim untuk memajukan industri kreatif di Malaysia.

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) telah menyenaraikan enam tuntutan dan cadangan yang difikirkan sesuai untuk pembangunan industri kreatif negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Gafim, Jurey Latif berkata, satu surat rasmi juga telah dihantar kepada Penasihat Komunikasi kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan pada Khamis lalu dan telah mendapat respons Najib.

"Pihak Gafim telah menyenaraikan enam tuntutan dan cadangan yang dilihat dapat membangunkan dan mengubah sistem dan ekosistem industri kreatif secara keseluruhannya pada masa akan datang," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Jurey berkata, Najib juga bersetuju untuk bertemu dengan pihaknya dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pada satu majlis minum petang di kediaman rasmi beliau di Putrajaya pada 17 April ini bagi membincangkan tentang perkara itu.

Dalam pada itu, Jurey berkata, antara perkara yang diminta oleh pihaknya adalah suntikan dana daripada kerajaan supaya dapat memainkan peranan lebih efektif bagi pembangunan seni kreatif.

Jelas Jurey, kekurangan dana telah menghadkan pihak persatuan seni untuk menjalankan aktiviti dengan lebih kerap dalam usaha-usaha memartabatkan industri seni.

"Kadang-kadang kami di persatuan perlu mengeluarkan wang sendiri untuk menjalankan aktiviti kerana dana yang disuntik tidak mencukupi.

"Dana cukup penting kerana selain dapat merancang pelbagai aktiviti ia sekali gus dapat meningkat daya saing selain tahap ekonomi industri dan negara.

"Kami di pihak persatuan mengharapkan tuntutan kami ini dapat dipenuhi dan ia tidak lagi berbangkit selepas ini," jelasnya.

Jurey berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan satu perkampungan seni yang menyediakan fasiliti lengkap set studio bagi tujuan penggambaran seperti hospital, balai polis, sekolah dan sebagainya selain peralatan bagi memudahkan proses penggambaran produksi tempatan.

"Fasiliti sokongan seperti pasca produksi dan perumahan untuk krew penggambaran juga patut disediakan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas di kawasan tersebut.

Tambah Jurey, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memberikan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) kepada pekerja-pekerja industri seni selain memberikan kemudahan perubatan percuma kepada mereka yang uzur dan telah bersara dari dunia seni.

Sementara itu, Jurey berkata, pihaknya juga mahu kerajaan memberi penekanan kepada penstrukturan semula hak cipta harta intelek yang dilihat tidak memberi kelebihan kepada industri seni tempatan selain menguatkuasakan peraturan bagi produksi iklan tempatan.

Malah katanya, isu royalti sebuah program yang diulang tayang di televisyen perlu diberi perhatian selain cagaran harta intelek kepada bank untuk menghasilkan sesuatu karya.

Artikel Lain