suria

Wan Raja Tenggelam Selepas '...Dalam Botol'

Wan Raja. Foto SAM THAM
Wan Raja. Foto SAM THAM
Wan Raja. Foto SAM THAM

PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja meluahkan rasa kecewa apabila namanya semakin hambar selepas membintangi filem ...Dalam Botol kira-kira dua tahun lalu.

Wan atau nama sebenarnya Saiful Redzuan A Bakar, 35, berkata, menerusi filem arahan Raja Azmi itu, dia telah melakonkan karakternya sebaik mungkin kerana mahu masyarakat mengenalinya sebagai pendatang baru tetapi apa yang diharapkan itu tidak kesampaian.

"Memang sejak membintangi ...Dalam Botol , macam-macam kontroversi yang tercetus tidak kiralah pada diri saya sendiri mahupun filem berkenaan.

"Sehinggakan kebagusan filem itu tidak dipandang. Memang saya mengharapkan nama saya lebih kukuh dalam industri seni tempatan, tetapi lain pula jadinya.

"Selepas habis filem itu, nama saya terus tenggelam," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tambah Wan, dia tidak pernah merungut dengan kegagalannya dalam mencipta nama sebagai pelakon.

Malah dia juga akan berusaha untuk meningkatkan kualiti kerja lakonannya menerusi projek-projek kecil serta beberapa buah drama.

"Berlakon dalam ...Dalam Botol juga sebenarnya telah membuka mata sesetengah penerbit untuk menawarkan saya berlakon.

"Peluang itu saya ambil untuk mengasah bakat lakonan saya sebaik mungkin.

"Tak naklah orang kata nanti saya ini seorang pelakon yang hanya bergaya pada majlis-majlis hiburan tetapi tak boleh berlakon," ujarnya.

Selain ...Dalam Botol, Wan juga pernah membintangi filem Momok Jangan Cari Fasal dan Balun.

Terbaharu, Wan bakal beraksi di televisyen menerusi drama Tanah Merah terbitan Filmscape Sdn.Bhd yang akan disiarkan pada 28 Mac ini menerusi saluran ntv7.

Tanah Merah mengisahkan pencarian Johanna (Aishah) seorang wartawan muda dan berani dalam membantu rakannya, Maryam (Nazeera) menyiasat tentang misteri kematian ayahnya di Tanah Merah.

Siasatan yang dibuat Johanna telah ditentang editornya, Roslan (Rahim Omar) namun wanita itu tetap nekad mencari kebenaran kejadian itu.

Drama yang juga dibarisi pelakon Aishah Hoo, Zara Zya, Norman Hakim dan Nazeera Sardi.

Ia disiarkan setiap Khamis, pukul 8.30 malam.

Artikel Lain