suria

Terlepas Hukuman Gantung, Zack Kekal Ahli New Boyz

Zack (kanan) bersama rakannya Tomok. Gambar fail Utusan Malaysia.
Zack (kanan) bersama rakannya Tomok. Gambar fail Utusan Malaysia.
Zack (kanan) bersama rakannya Tomok. Gambar fail Utusan Malaysia.

PETALING JAYA: Pemain bes kumpuan New Boyz iaitu Zack tidak pernah disingkirkan daripada kumpulan itu walaupun dia pernah ditahan di penjara selama tiga tahun akibat tuduhan mengedar dadah.

Ketua kumpulannya iaitu Shah Indrawan Ismail, 29, atau Tomok berkata, pihaknya masih lagi memerlukan tenaga Zack untuk menjadi ahli New Boyz walaupun dia dikaitkan dalam isu berkenaan.

“Saya tidak pernah buang Zack. Saya masih memerlukan dia untuk bersama kumpulan New Boyz. Malah kumpulan ini juga masih kekal seperti band muzik lain,” kata Tomok kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang Jumaat.

Selain Zack, New Boyz turut disertai dua ahli baru iaitu Afiz (pemain gitar) dan Ristoe (dram).

Tomok berkata, sepanjang Zack berada di penjara, dia bersama ahli Newz Boyz sering melawat pemuda itu untuk memberi sokongan moral sementara menanti kesnya dibicarakan di mahkamah.

Malah kata Tomok, dia turut dihubungi oleh Zack pada tengah hari Jumaat bagi memaklumkan yang dia sudah terlepas daripada hukuman gantung.

“Saya gembira dengan perkembangan terbaru Zack itu dan memberi peluang untuk dia bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum kami berjumpa untuk membincangkan soal penghasilan album,” katanya.

Dalam laporan Bernama pada Jumaat Zack bersyukur kerana terlepas daripada hukuman itu selepas hampir tiga tahun di reman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini.

Zack atau nama sebenarnya Radin Irwan Dzul Karnain Isagani dilepas dan dibebaskannya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 1,321 gram, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat banyak kelemahan dalam siasatan polis yang membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.

Dia didakwa mengedar kanabis di satu unit sebuah kondominium di Persiaran Surian, Petaling Jaya di sini, pada 9.20 malam, 26 Januari 2010.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Zack bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan lanjut mungkin kerana sibuk dengan urusan keluarga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain