suria

Jamal Abdillah & Jay Jay Bergabung Untuk Konsert Di Rompin

Jay Jay dan Jamal akan bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan. - Foto UTUSAN
Jay Jay dan Jamal akan bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan. - Foto UTUSAN
Jay Jay dan Jamal akan bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan. - Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi legenda tanah air iaitu Jamal Abdillah dan Jay Jay bakal bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan.

Konsert itu akan berlangsung di Lanjut Golden Beach and Golf Resort, Kuala Rompin, Pahang yang akan diadakan pada pukul 8 malam.

Menurut wakil resort itu, Ghani Syah Rahim, ia merupakan penganjuran pertama oleh pihaknya membabitkan dua penyanyi berkenaan dalam sebuah acara hebat.

"Jamal dan Jay Jay sudah pun mempunyai peminat yang tersendiri dan mereka masih kekal hebat sehingga ke hari ini.

"Pihak kami yakin gabungan dua nama ini akan memberikan kepuasan yang maksima kepada penonton," katanya pada sidang media konsert itu di Gloria Jean's, Wisma Nusantara, dekat sini, Selasa.

Tambah Ghani, konsert selama 2 jam 30 minit itu akan menampilkan sebanyak 22 lagu hit daripada Jamal manakala Jay Jay akan mempersembahkan sebanyak tujuh buah lagu.

Selain berhibur, pengunjung juga dapat menikmati hidangan makan malam di tepi pantai.

Menarik lagi hidangan yang disediakan merupakan empat menu BBQ terbaik seperti Tex-Mex, Oriental, Continentals serta hidangan tempatan.

Sementara itu, Jamal berkata, persembahannya kali ini akan diiringi pemuzik pengiring yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.

"Memandangkan persembahan ini diadakan di tepi pantai, maka 'mood' yang dibawakan lebih santai.

"Malah saya tidak akan menetapkan lagu-lagu apa yang akan disampaikan, sebaliknya, pilihan lagu dibuat secara spontan, ikut pada keadaan, perasaan, dan suasana penonton pada ketika itu," ujarnya.

Jay Jay pula berkata, dia begitu teruja apabila pertama kali bergandingan dalam sebuah konsert bersama Jamal dan mungkin akan berduet dengan Raja Pop itu untuk sebuah lagu yang bakal dipilih.

"Agak seronok sebenarnya apabila mendapat tahu saya akan membuat persembahan dengan Jamal.

"Walaupun sudah lama kami berada dalam industri muzik tempatan, kami belum pernah lagi digandingkan.

"Bagaimanapun, saya akan menyampaikan lagu-lagu popular solo saya dan kumpulan Carefree yang pernah saya disertai dahulu," ujarnya.

Tiket konsert yang berharga RM399 hingga RM699 (disertai hidangan makan malam) boleh ditempah dengan menghubungi talian 09-4145113.

Selain itu, diskaun bagi harga bilik penginapan turut diberikan bagi mereka yang ingin bermalam di resort tersebut.

Artikel Lain