suria

Usaha Shuhaimi Lua Terbayar Selepas Dicemuh Kerana Filem Songsang

Shuhaimi Lua
Shuhaimi Lua
Shuhaimi Lua

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit drama Shuhaimi Lua Abdullah berharap kemunculan telefilem sulungnya berjudul Perempuan Tanpa Rahim (PTR) bakal mengubah persepsi negatif segelintir pihak yang pernah mencemuh kebolehannya sebelum ini.

Shuhaimi berkata, telefilem yang diterbitkan syarikat produksinya Tanah Beris Film Production Sdn Bhd itu adalah bukti kesungguhannya untuk berjaya dalam bidang penerbitan drama dan filem.

“Susah sebenarnya untuk mencari ruang dalam industri ini. Sejak saya muncul dengan filem pendek kontroversi Chukang kira-kira dua tahun lalu, macam-macam pertikaian orang terhadap saya.

“Ada yang memperlekeh dan beranggapan saya seorang karyawan yang suka buat filem songsang kerana filem pendek itu memaparkan kisah rumah urut gay.

"Ada juga pihak stesen televisyen yang tidak berkenan dengan sesebuah karya itu hanya kerana ada nama saya,” katanya.

Telefilem PTR yang membariskan pelakon antaranya Eja, Normah Damanhuri, Harun Salim Bachik, Putri Mardiana dan Faiz Fadzil akan ditayangkan pada 25 Ogos ini pukul 5 petang di TV3.

Shuhaimi berkata, penantian selama dua tahun untuk mendapat kepercayaan stesen televisyen akhirnya terlaksana apabila diberikan peluang oleh TV3.

“Selepas dua tahun mengintai peluang daripada pelbagai stesen televisyen, saya amat berpuas hati dan berterima kasih atas kepercayaan TV3 yang sudi membeli telefilem sulung saya.

“Ini (telefilem) adalah bukti kesungguhan saya dalam bidang ini. Saya berharap kemunculan telefilem ini nanti dapat memadamkan persepsi negatif pihak tertentu yang memandang rendah kewujudan saya sebelum ini,” katanya.

PTR berkisar mengenai kesengsaraan dan trauma dialami seorang mangsa rogol. Sejarah hitam Kamariah lakonan Normah Damanhuri yang pernah dirogol ketika berusia 26 tahun membuatkan dia fobia sehingga menghantui hidupnya ke usia tua.

Sewaktu kejadian berlaku, Kamariah diselamatkan oleh Malim (Harun Salim Bachik) sehingga mereka terlanjur. Malim yang sudah beristeri bagaimanapun berhasrat untuk memperisterikan Kamariah dengan mengakui keterlanjuran mereka.

Isteri Malim, Fatimah (Khatijah Tan) meminta cerai kerana malu dengan perbuatan suaminya.

Tekanan itu membuatkan Kamariah mahu menggugurkan kandungan tersebut tetapi ia dihalang Malim sehingga seorang bayi dinamakan Syahidah (Eja) lahir. Namun, kewujudan Syahidah dibenci oleh Kamariah.

Artikel Berikut

Artikel Lain