suria

Rasa Rindu Ghazali Tehadap Arwah Asri (Rabbani)

Ghazali Ibrahim
Ghazali Ibrahim
Ghazali Ibrahim

PETALING JAYA: Pendakwah bebas Ghazali Ibrahim mengakui perasaan rindu semakin menebal terhadap abangnya yang juga bekas penyanyi Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim setiap kali menjelang Ramadan.

Ghazali, 41, yang merupakan adik paling rapat dengan Allahyarham berkata, memori terhadap arwah tidak pernah luput walaupun selepas tiga tahun pemergiannya.

“Saya adalah anak kelapan manakala Allahyarham yang ketujuh daripada 13 beradik. Kami memang rapat dan secara kebetulan saya banyak menyertai abang dan kumpulannya ketika mengadakan persembahan.

“Walaupun tidak terlibat secara langsung, saya banyak menyumbangkan lirik dan qasidah pada lagu-lagu mereka. Jadi apabila menjelang Ramadan, memori itu semakin kuat menggamit apabila saya lebih kerap terlibat dengan Rabbani untuk pelbagai acara,” katanya kepada mStar Online.

Ghazali ditemui ketika menyampaikan tazkirah Ramadan pada pelancaran program Raikan Ramadan TV3 di sini, baru-baru ini.

Bercerita mengenai kenangan yang manis bersama, Ghazali berkata, dia tidak pernah melupakan jasa Allahyarham yang banyak membiayai perbelanjaannya ketika belajar di Madinah.

“Allahyarham seorang abang yang tidak pernah marah. Seingat saya, tidak pernah sekali pun dia memarahi saya dan pemurah orangnya.

“Saya tidak akan lupa kemurnian hatinya yang banyak mengirimkan wang belanja ketika saya belajar di luar negara dulu,” kongsinya.

Ditanya tidakkah dia berminat untuk meneruskan legasi Allahyarham sebagai pengganti vokalis kumpulan itu, Ghazali berkata dia lebih selesa menumpukan pada bidang dakwah.

“Banyak kali juga anggota kumpulan itu mempelawa saya menggantikan tempat abang tetapi saya lebih selesa melakukan kerja-kerja dakwah.

“Jika berkelapangan, saya tidak keberatan mengikuti mereka pada majlis-majlis dan persembahan seperti ketika abang masih ada dulu tetapi untuk menjadi pengganti saya belum bersedia,” katanya.

Allahyarham Asri meninggal dunia pada 13 Ogos 2009 ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar akibat serangan jantung pada usia 40 tahun.

Allahyarham jatuh pengsan ketika menjalani raptai sidang media program Syahadah di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pagi yang sama.

Artikel Lain