suria

Anzalna Makin Tenang Selepas Seminggu Minta Maaf Kepada Neelofa

Anzalna Nasir
Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

PETALING JAYA: Aktres Anzalna Nasir berkata dia berasa semakin tenang selepas meminta maaf secara terbuka kepada Neelofa atas dakwaan memfitnah aktres itu di sebuah akhbar mingguan bertarikh 10 Jun lalu.

Pemilik nama penuh Nur Anzalna Md Nasir, 24, ini berkata, dia mahu menumpukan perhatian pada kerjaya lakonan dan melupakan peristiwa hitam itu selepas hampir seminggu sidang media khas pada Isnin lalu itu diadakan.

“Alhamdulillah, kehidupan saya bertambah baik sejak peristiwa itu berlalu. Segalanya sudah selesai dan hati serta fikiran saya tidak lagi terbeban dengan perkara-perkara yang merunsingkan.

“Walaupun saya akui tindakan meminta maaf apa lagi secara terbuka itu bukan mudah dan berat untuk dilakukan, saya berjaya hadapinya demi ibu dan keluarga. Mulai sekarang, saya mahu memulakan hidup baru,” kongsinya ketika dihubungi mStar Online.

Anzalna berkata, dia percaya tindakan meminta maaf itu mempunyai hikmah yang tersembunyi untuk diri dan kerjayanya.

“Saya yakin tentu ada hikmah yang besar menanti saya selepas perkara ini selesai. Apa yang terbaik buat masa ini adalah saya sudah menerima 20 tawaran filem dan drama.

“Saya pasti tawaran ini datang bukan kerana kontroversi ini tetapi kerana penerbit dan pengarah semakin nampak pada kerja saya,” katanya.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk “Anzalna Bidas Neelofa” menerusi akhbar berkenaan.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata, dia bersedia memohon maaf secara terbuka tetapi Neelofa menetapkan beberapa syarat menerusi sepucuk surat perjanjian yang harus dipatuhinya.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai syarat-syarat dalam surat itu enggan didedahkan atas alasan sulit dan peribadi.

Kenyataan maaf pada Isnin lalu itu turut disaksikan Neelofa sendiri, Presiden Seniman Zed Zaidi, Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak, peguam kedua-dua aktres terbabit dan wakil media.

Artikel Sebelum

Artikel Lain