suria

Letih Dengar Sindiran, Kamal Adli Akhirnya Kuruskan Badan

Wajah terbaru Kamal Adli (kanan) bersama pasangan heroin filem Gerimis Mengundang, Olivia Jensen pada tayangan previu filem itu, baru-baru ini. - Foto oleh S.S KANESAN
Wajah terbaru Kamal Adli (kanan) bersama pasangan heroin filem Gerimis Mengundang, Olivia Jensen pada tayangan previu filem itu, baru-baru ini. - Foto oleh S.S KANESAN
Wajah terbaru Kamal Adli (kanan) bersama pasangan heroin filem Gerimis Mengundang, Olivia Jensen pada tayangan previu filem itu, baru-baru ini. - Foto oleh S.S KANESAN

PETALING JAYA: Pelakon kacak Kamal Adli gembira dan berpuas hati apabila dia memperolehi semula berat badan idealnya setelah tujuh bulan disindir oleh orang sekeliling ekoran perubahan mendadak fizikalnya itu.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata dia berjaya mencapai berat badan ideal iaitu 75 kilogram berbanding 81 kilogram sebelum ini, selepas mengamalkan diet intensif termasuk senaman dan mengawal pemakanan bagi sepanjang tempoh itu.

“Saya sudah tidak larat dengar sindiran dan reaksi orang sekeliling dengan perubahan fizikal saya. Sepanjang tempoh tujuh bulan, saya aktif bersukan seperti bermain bola sepak dan futsal sebanyak tiga hingga lima kali seminggu.

“Yang paling saya tekankan adalah aspek pemakanan. Saya langsung tidak jamah nasi dan perbanyakkan pengambilan sayuran dan buah. Kalau hendak tahu, walaupun saya sudah mula ambil nasi semula tapi jumlahnya sangat terkawal,” katanya.

Kamal berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran orang sekelililing, dia sentiasa fokus kepada rutin dietnya. Sejak perubahan itu, dia berasa berkeyakinan semula dan lebih cergas berbanding sebelum ini.

“Saya rasa sihat dan penuh bertenaga seperti ketika saya menyertai pertandingan Hero Remaja, empat tahun lalu. Alhamdulillah, selepas tujuh bulan mengamalkan diet, ia mula menampakkan hasil.

“Saya gembira dan berpuas hati kerana usaha saya untuk mencapai matlamat ini berjaya,” katanya kepada mStar Online.

Mengenai perkembangan terkini, hero filem Gerimis Mengundang ini berkata, dia membuat keputusan untuk berehat daripada komitmen lakonan pada sepanjang bulan ini bagi memberikan laluan untuk promosi filem tersebut.

“Saya berehat daripada lakonan buat masa ini. Saya mahu berikan tumpuan kepada jadual promosi filem Gerimis Mengundang. Maklumlah, filem ini turut dipasarkan di Indonesia, Singapura dan Brunei, jadi saya akan kerap berulang-alik di negara-negara itu.

“Saya sangat teruja dengan filem kali ini. Sebagai hasrat penerbitnya untuk melihat filem kita menembusi pasaran Indonesia, saya juga menyimpan impian yang sama. Saya mahu sangat tengok filem kita mencetuskan fenomena di sana,” katanya.

Dalam filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu, Kamal menggalas watak juruterbang helikopter, Kapten Zamani yang menjalin hubungan dengan gadis dari Indonesia, Mikha lakonan Olivia Jensen.

Filem itu diinspirasikan daripada lagu dengan judul yang sama ciptaan Saari Amri dan nyanyian Zamani (Slam).

Gerimis Mengundang terbitan Erama Creative Sdn Bhd kini ditayangkan serentak di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Artikel Berikut

Artikel Lain