suria

Saluran Definisi Tinggi Mustika HD Dijamin Hebat

PETALING JAYA: Bagi mengukuhkan kedudukan selaku pembekal pengisian kandungan utama di Malaysia, stesen televisyen Astro menawarkan sebuah lagi pilihan kandungan dalam bentuk definisi tinggi menerusi saluran terbaru, Mustika HD.

Bermula 21 Mei ini, pelanggan Astro B.yond HD dan Pek Mustika boleh menikmati saluran ini secara percuma selama 24 jam tanpa sebarang bayaran tambahan sehingga 31 Julai depan.

Selepas tempoh itu, para pelanggan harus melanggan kedua-dua perkhidmatan tersebut untuk terus menonton Mustika HD.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pembaharuan saluran Mustika HD menjadikan jumlah keseluruhan saluran HD di platform Astro kini sebanyak 19 buah kesemuanya.

"Melalui kehadiran Mustika HD, pelanggan perkhidmatan Astro B.yond dan Pakej Mustika yang sedia ada juga dijamin mendapat kepuasan untuk setiap wang yang telah dibelanjakan.

"Kami berazam untuk terus membekalkan kandungan premium serta teknologi yang terbaik dan terkini khusus buat para pelanggan," katanya menerusi kenyataan media mStar Online di sini, Jumaat.

Mustika HD (saluran 134) ialah sebuah saluran definisi tinggi baru yang memaparkan program-program hebat seperti dokumentari, konsert, program realiti, drama, telenovela dan telefilem 24 jam sehari yang disasarkan kepada penonton Melayu.

Kebanyakan program yang disiarkan adalah dalam Bahasa Malaysia kecuali untuk program-program luar negara seperti dokumentari yang akan dikekalkan penyampaiannya tetapi dilengkapkan dengan perkhidmatan sari kata.

Sebagai permulaan, Mustika HD akan menyajikan pengisian kandungan-kandungan terbaik tempatan dari saluran-saluran Astro yang lain seperti Masterchef Selebriti, Super Spontan, Imam Muda, Pasion Morena, Emperatriz dan banyak lagi program kepada para penonton sepanjang tahun.

Untuk menikmati saluran Mustika HD, para pelanggan Pakej Mustika hanya perlu melanggan perkhidmatan Astro B.yond dengan bayaran serendah RM20.00 sebulan. Manakala bagi para pelanggan perkhidmatan Astro B.yond pula, mereka hanya perlu melanggan Pakej Mustika dengan bayaran RM12.95 sebulan.

Untuk melanggan, layari laman web www.astro.com.my/byond atau www.astro.com.my/mustika atau hubungi talian bebas tol, 1300-82-3838.

Artikel Berikut

Artikel Lain