suria

Kenchana Devi Terkejut Dituduh 'Buat Kecoh'

Kenchana Devi
Kenchana Devi
Kenchana Devi

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Kenchana Devi menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia "hanya tahu buat kecoh" ketika bertugas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang kepada pendengar.

Kenchana berkata, selama empat bulan bertugas mengendalikan segmen Ceria Pagi di Suria bersama Halim Othman dan Nabil Ahmad, dia tidak pernah pun menerima komen sedemikian.

"Saya pelik juga bila ada yang tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan untuk menceriakan pendengar. Walhal kebanyakan respons, pendengar berpuas hati dengan kekecohan yang kami timbulkan.

"Kalau hendak tahu, setiap perbualan antara saya, Nabil dan Halim pada setiap pagi dikawal dan dipantau. Kami tidak bercakap, berlawak serentak atau buat kecoh tidak tentu pasal," katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengenai perubahan yang dirasainya sejak bersama radio itu, Kenchana memberitahu dirinya semakin dikenali apabila dia mula dikerumuni orang ramai apabila berada di kawasan awam.

"Saya terkejut juga apabila semakin ramai yang mula mengenali dan mahu bergambar jika terserempak di mana-mana.

"Ia adalah satu penghargaan buat saya apabila kerja kita diterima oleh masyarakat. Namun, saya tidak pernah terfikir untuk mengejar populariti dengan menyertai radio," katanya.

Mengenai perkembangan lakonan, pelawak itu berkata dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri komedi Sebumbung bagi musim ketiga di RTM.

Dia juga bakal sibuk dengan penggambaran beberapa program Deepavali di bawah syarikat produksi sendiri, Kanchana Shakti Production Sdn Bhd.

Artikel Lain