suria

Nasir Bilal Khan Boikot Segelintir Pengarah

Nasir Bilal Khan
Nasir Bilal Khan
Nasir Bilal Khan

KUALA LUMPUR: Pelakon Nasir Bilal Khan berkata mentaliti segelintir pengarah filem beragama Islam yang obses pada ideologi barat dalam berkarya membuatkan dia berasa tawar hati dan memboikot tawaran lakonan daripada mereka.

Nasir berkata sebagai karyawan beragama Islam, dia berasa terkilan dengan pandangan beberapa pengarah filem yang terlalu taksub untuk menghasilkan karya yang bertujuan untuk melekakan penonton semata-mata.

“Tidak perlu saya namakan siapa pengarah-pengarah tersebut. Segelintir mereka yang mempunyai mentaliti kebaratan ini hanya taksub untuk menghasilkan karya hiburan dan melalaikan penonton beragama Islam sahaja.

“Saya akui pernah bekerja di bawah arahan mereka sebelum ini tetapi kerana pandangan yang bertentangan itu, saya lebih selesa untuk tidak terlibat dengan golongan begini lagi.

“Beberapa tawaran lakonan daripada mereka saya tolak dengan baik. Saya tidak kisah atau berasa rugi pun apabila memboikot mereka,” katanya kepada mStar Online.

Nasir berkata walaupun masih aktif berlakon dia lebih cenderung kepada projek drama atau filem yang memperjuangkan syiar Islam dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan sahaja.

“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, saya cenderung bergerak atas landasan yang bersesuaian sebagai penggiat seni yang beragama Islam.

“Ibadah itu luas dan dalam berkarya juga kita boleh beribadah. Sebab itu saya hanya terlibat dengan projek filem atau drama yang meninggalkan kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Menyentuh perkembangan seni, Nasir akan kembali dengan musim terbaru drama popular Tanah Kubur pada setiap Jumaat bermula 24 Februari depan.

Drama sebanyak 13 episod arahan Rashid Sibir itu akan disiarkan pada pukul 7.30 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106).

Artikel Sebelum

Slot '9X' Khas Untuk Remaja

Artikel Berikut

Artikel Lain