suria

Jzelynn Mahu Buat Konsert Mini Dengan Artis Antarabangsa

PETALING JAYA: Penyanyi Jenice’Zelynn (Jzelynn), 30, (gambar) sedang dalam proses melakukan konsert mini yang turut menampilkan seorang artis antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Bagaimanapun dia yang pernah menghasilkan album Percayalah itu enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana masih dalam perbincangan tentang urusan artis antarabangsa.

“Saya mahu membuat kejutan kepada semua tentang konsert mini ini dan sekarang ini masih mencari penaja serta menunggu maklum balas dari pihak penganjur.

“Kami mensasarkan untuk membuat konsert ini pada suku kedua tahun depan,” katanya kepada mStar Online.

Selain itu, penyanyi yang turut dilantik menjadi duta dan jurucakap untuk ‘Bumi Hijau Pulau Pinang’ selama dua tahun berturut-turut itu akan kembali dalam bidang lakonan.

“Saya akan muncul sebagai watak pembantu dalam sebuah drama bersiri di TV3 yang akan memulakan penggambaran pada Januari depan.

“Ini merupakan kali kedua saya berlakon selepas kali pertama berlakon dalam filem Embun arahan Erma Fatima,” katanya yang akan membuat persembahan di acara pembukaan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 di Langkawi pada Selasa ini.

Bagaimanapun, penyanyi ini akan sedaya upaya yang mengembangkan kerjayanya dalam bidang muzik terlebih dahulu.

“Sekurang-kurangnya saya mencuba dan tidak mahu hidup dalam tanda tanya serta cepat berputus asa,” ujarnya yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran Berita) dari Indiana State University.

Selain itu, Jzelynn turut menjadi duta kepada beberapa produk seperti Menstrol Period Pain Plaster, Tripo-X, CSL untuk siri Swarovski dan pereka fesyen Hideaki.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain