suria

Drama Hebat Di TV3 Sempena Maal Hijrah

Zahiril Adzim.
Zahiril Adzim.
Zahiril Adzim.

PETALING JAYA: Sempena Maal Hijrah yang jatuh pada Ahad ini, stesen TV3 bakal menyiarkan drama hebat penuh teladan untuk tontonan seisi keluarga.

Bermula seawal 25 November, ikuti siaran program-program khas seperti Sebelum Lima Perkara, Setitis Hidayah, Si Puteh, Dakwah Muharram dan Taubat Nasuha.

Seperti yang dijangkakan, drama-drama hebat ini membariskan pelakon-pelakon yang tidak asing lagi di persada seni tanah air seperti Fauzi Nawawi, Zahiril Adzim, Sheila Rusly, Datuk Jalaludin Hassan, Zul Yahya, Aqasha, Fouziah Gous dan Liyana Jasmay.

Drama Dakwah Muharram dan Taubat Nasuha sudah disiarkan pada Jumaat lalu.

Sementara Cerekarama berjudul Sebelum Lima Perkara mengisahkan tentang Alyah yang mempunyai segala-galanya iaitu suami, anak-anak dan kemewahan.

Lebih beruntung, Alyah diberikan keimanan dan ketakwaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Maha Pencipta. Anak-anak juga mempunyai akhlak yang baik serta tidak pernah lupa suruhan Allah, hasil didikan dan peringatan Alyah.

Namun, suaminya Badri yang leka dengan kemewahan menyebabkannya menjadi sombong, angkuh, kedekut dan membenci orang miskin.

Walaupun Alyah sering mengingatkan Badri tentang tanggungjawabnya sebagai seorang Islam, namun tidak diendahkannya.

Kesombongan Badri memuncak apabila dia menghalau Alyah dan anak-anak setelah Alyah mengajaknya mengubah cara hidup yang baru sempena Maal Hijrah. Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Cerekarama lakonan Fauzi Nawawi, Sherlie Merlis, Izzue Islam, Ana Dahlia,Ustaz Dini, Diana Johor ini akan disiarkan pada Sabtu, jam 10 malam.

Drama seterusnya berjudul Si Puteh mengisahkan tentang dua orang adik beradik, Fatah dan Fadil yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri Suhaimi dan Siti.

Fatah mempunyai seekor kucing Parsi dan sering bermain dengan kucingnya itu, manakala Fadil pula berminat dengan sukan berbasikal dan sering mengikuti kawan-kawannya dalam acara konvoi.

Satu hari, basikal Fadil nyaris dicuri Tajul tetapi dengan pertolongan kawan-kawannya, Fadil berjaya merampas kembali basikalnya.

Namun Tajul berjaya menyelamatkan helmet kesayangannya.

Kemudian, Tajul turut melarikan kucing kesayangan Fatah ketika dia sedang leka bermain dengan kucing itu. Ketika sedang melarikan diri, Tajul bertembung dengan Omar yang sedang menunggunya dan mereka lari bersama.

Kucing itu diserahkan kepada Omar untuk disembunyikan di sebuah rumah terbiar berhampiran dengan kawasan perumahan tersebut. Apakah yang akan dilakukan oleh Fadil dan Fatah terhadap Tajul dan Omar?

Si Puteh yang akan disiarkan pada Ahad ini, jam 10 pagi dilakonkan oleh Fazli Daniel, Addy Ashraf, Hanis Kamal, Zul Yahya, Aida Aris, Eyka Farhana dan Khairil Anwar.

Konflik diteruskan dengan drama Setitis Hidayah yang akan disiarkan pada Isnin ini, pukul 10 malam.

Drama lakonan Hafizuddin Fazil, Kartina Aziz, Zahiril Adzim dan Wan Sharmila ini mengisahkan tentang Pak Hamid yang mempunyai kemahiran membina dan membaiki rumah-rumah kampung.

Walaupun Pak Hamid sangat mahir, rumahnya sendiri tidaklah sempurna, dan dia tinggal bersama isteri, Mak Ton, dan anak bongsunya, Samad.

Pak Hamid masih ada sifat rasa tak berpuas hati dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang lebih bernasib baik darinya.

Pak Hamid telah dipengaruhi oleh Othman yang kononnya mahu menolongnya mengusahakan perniagaan berasaskan industri kampung di tanah milik Pak Hamid.

Pada masa yang sama, ketua kampung juga meminta Pak Hamid membina sebuah rumah batu baru. Namun Pak Hamid mula rasa malas.

Setelah dipujuk, akhirnya Pak Hamid mengalah dan rumah tersebut dibina secara sambil lewa. Beberapa hari kemudian, Pak Hamid terkejut bila jentolak masuk dan bersiap sedia nak merobohkan rumahnya.

Pak Hamid menjadi cemas bila mengetahui rumahnya akan diroboh untuk dijadikan kilang. Apakah yang terjadi kepada Pak Hamid dan keluarganya?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain