suria

Sheila Majid Berdebar Bersaing Dengan Artis Baru

Sheila (tengah) bergambar bersama Najwa dan Yuna selepas menerima Anugerah Album Terbaik di AIM2011 pada Jumaat.
Sheila (tengah) bergambar bersama Najwa dan Yuna selepas menerima Anugerah Album Terbaik di AIM2011 pada Jumaat.
Sheila (tengah) bergambar bersama Najwa dan Yuna selepas menerima Anugerah Album Terbaik di AIM2011 pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid mengakui berdebar apabila terpaksa bersaing dengan artis-artis baru yang semakin ramai mewarnai industri muzik tanah air.

Sheila berkata, kebanyakan artis generasi baru hari ini lebih berbakat dalam menghasilkan lirik dan lagu mereka sendiri selain tahu arah tujuan karier mereka.

"Saya sendiri pada mula-mula melibatkan diri dalam industri muzik tidak berpeluang untuk menghasilkan lagu dan lirik sendiri kerana peluang sangat terhad dan tumpuan lebih kepada nyanyian sahaja.

"Berbeza dengan artis-artis baru sekarang mereka lebih berbakat besar dan tahu arah tujuan mereka dan diterima oleh penggemar muzik," ujarnya.

Sheila ditemui ketika sidang media selepas acara Anugerah Industri Muzik 2011 (AIM2011) di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Sheila berkata, kebolehan dan kesungguhan mereka perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia dapat merancakkan lagi industri muzik tempatan yang dilihat semakin suram.

"Golongan sebegini yang dapat membantu menaikkan industri muzik oleh itu usaha mereka perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Sheila berkata kemenangan di AIM2011 menerusi kategori Album Terbaik disifatkan sebagai rezekinya pada malam itu.

Ujarnya, dia tidak menyangka album The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid akan dinobatkan sebagai album terbaik kerana ketika menghasilkan album itu adalah semata-mata untuk meraikan ulang tahun ke-25 dirinya sebagai anak seni.

"Sejujurnya saya sangat terkejut kerana langsung tidak menyangka akan menang tetapi ia adalah rezeki saya dan calon-calon lain semua hebat-hebat belaka," katanya.

Sheila juga bersyukur apabila masih diterima baik oleh peminat-peminat di negara ini terhadap karier muziknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain