suria

Caca Akui Hilang Populariti Selepas Tamat Raja Lawak

Walaupun kurang menonjol, Caca tidak berputus asa untuk meneruskan karier seninya. - Foto LOW LAY PHON
Walaupun kurang menonjol, Caca tidak berputus asa untuk meneruskan karier seninya. - Foto LOW LAY PHON
Walaupun kurang menonjol, Caca tidak berputus asa untuk meneruskan karier seninya. - Foto LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Pelawak Caca atau nama sebenarnya Abdul Halim Abdul Malek,32, akui popularitinya kurang menonjol selepas menyertai program realiti Raja Lawak musim keempat.

Namun dia bersyukur apabila pelawak dan pelakon Sathiya menjemputnya untuk memeriahkan program Lawak Minggu Ini yang akan disiarkan bermula 5 Ogos depan pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).

“Saya akui tidak menonjol dalam program Raja Lawak tetapi Sathiya telah memberi ruang kepada saya untuk berkarya dalam industri seni ini.

“Saya rasa seronok apabila persembahan kami mendapat sorakan yang hebat. Alhamdulillah, dia telah memberi peluang untuk saya kembali dalam industri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Lawak Minggu Ini di The Curve, Isnin lalu.

Biarpun begitu, dia tidak berputus asa dan masih meneruskan karier seninya dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

“Saya sedang sibuk menjadi pengacara untuk majlis makan malam seperti program jelajah usahawan di Baling, Kedah.

“Selain itu, saya turut berlakon dalam dua buah drama untuk terbitan RTM iaitu Sood Che Yong dan Rakan-Rakan serta Keliru,” ujarnya.

Tambahnya lagi: “Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Sathiya dan pelakon Farouk Hussein yang tidak melupakan saya untuk mengacara majlis dan kerja di luar.

Caca yang telah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak ini berasal dari Kulim, Kedah. Di Kuala Lumpur, dia menginap di rumah sewa di kawasan Pandan Indah bersama-sama pelawak Alex (Raja Lawak).

Memandangkan isteri dan anak-anaknya tinggal di Kulim, dia tidak kisah untuk berulang-alik setiap bulan atau setiap dua minggu untuk menjenguk mereka.

“Beginilah kehidupan saya apabila bekerja di sini dan terpaksa berjauhan daripada keluarga. Setakat ini, saya masih cuba mengukuhkan kewangan dan belum merancang untuk membawa mereka pindah ke Kuala Lumpur,” ujarnya yang akan berniaga menjual martabak pada bulan Ramadan ini.

Atas permintaan yang tinggi, dia dan rakan niaganya, Idlan (Raja Lawak) akan membuat perniagaan itu buat kali kedua di Bazar Ramadan Raub, Pahang bermula hari pertama atau kedua umat Islam berpuasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain