DALAM suasana meriah Aidilfitri, tradisi kunjung-mengunjung dan penganjuran rumah terbuka menjadi antara momen paling dinanti-nantikan. Pelbagai juadah istimewa dihidangkan bagi meraikan tetamu, dan antara menu yang sering menjadi pilihan ramai ialah soto, hidangan berkuah yang cukup menyelerakan. Selain kuah dan sambalnya yang memikat selera, satu elemen penting yang melengkapkan hidangan ini sudah tentu bergedil. Namun, tidak semua bergedil menjadi seperti yang diharapkan. Ada yang terlalu lembik, mudah hancur atau menyerap minyak berlebihan ketika digoreng.Seorang penjual soto, @nisamofadz berkongsi beberapa tip penting bagi menghasilkan bergedil yang cantik bentuknya, tidak lembik dan kekal padat ketika digoreng.Antara tip yang dikongsikan adalah:* Pastikan kentang yang sudah digoreng ditos dan ditapis sehingga benar-benar kering sebelum dilenyek. Kentang yang masih berminyak atau lembap boleh menyebabkan adunan bergedil menjadi lembik.* Daging dan daun sup yang ingin dicampurkan ke dalam kentang perlu dipastikan tidak berair. Lebihan air boleh menjejaskan tekstur adunan dan membuatkan bergedil mudah pecah.* Selepas dibentuk, sejukkan bergedil terlebih dahulu di dalam peti sejuk sebelum digoreng. Langkah ini membantu mengeraskan adunan supaya lebih stabil.* Untuk menggoreng, sediakan bancuhan telur bersama sedikit tepung jagung dan air. Salutan ini membantu bergedil lebih rangup serta mengekalkan bentuknya ketika digoreng.* Goreng bergedil dalam jumlah sedikit pada satu masa. Jika terlalu banyak dimasukkan sekali gus, suhu minyak akan menurun dan bergedil mudah menyerap minyak.* Gunakan api besar dan pastikan minyak benar-benar panas sebelum menggoreng. Proses menggoreng juga tidak perlu terlalu lama, cukup sekadar sehingga bahagian luar bertukar keemasan. Jika minyak tidak panas, bergedil boleh hancur dan menjadi berminyak.