suria

Sara Ali Menggigil Sebelum 'Ditampar' Yasmin Hani

PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali mengakui menggigil apabila melakonkan babak yang memerlukannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pelakon Yasmin Hani dalam drama Wasiat yang bakal disiarkan di Astro Prima 27 Julai ini.

Kata Sara, kakinya berasa kaku apabila melontar kata-kata itu sebelum ditampar oleh Yasmin Hani yang memegang watak ibu tiri kepada kekasihnya lakonan Farid Kamil.

"Saya tidak tahu kenapa saya rasa sangat takut sehingga menggigil dan kaku untuk melakonkan watak tersebut, mungkin kata-kata tersebut terlalu kasar yang pernah saya ungkapkan, tapi Alhamdulillah babak tersebut berjaya dilakukan dengan baik.

"Dalam babak tersebut, selepas melontarkan kata-kata kesat, Yasmin menampar saya, mungkin babak tersebut juga antara babak yang saya dapat menjiwainya," katanya ketika majlis pra tonton drama Wasiat dan Hantu Motel, di sini, Isnin.

Turut hadir barisan pelakon drama Wasiat dan Hantu Motel seperti Yasmin Hani, Beto Kusyairi, Azharani, Bell Ngasri dan Faisal Ishak.

Tambah Sara, dia juga terpaksa mengambil masa untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon-pelakon yang lain terutamanya Farid Kmail dan Yasmin Hani kerana kali pertama bergandingan.

"Pada mulanya memang agak risau dan perasaan kurang keyakinan untuk berlakon bersama pelakon-pelakon senior yang sudah ada nama ini.

"Saya mengaku terpaksa ambil masa untuk mendapat keserasian dengan mereka, tapi lama kelamaan kami sudah seperti adik beradik," ujarnya.

Dalam pada itu, Sara berkata cabaran utamanya apabila melakonkan watak Hanna yang merupakan seorang gadis bersifat lemah lembut.

"Saya seorang yang kasar, jadi apabila disuruh bawa watak gadis lembut dan ayu saya rasa sangat sukar kerana bertentangan dengan karakter sebenar saya.

"Apa yang saya buat ialah membuat kajian terhadap kawan baik saya yang juga seorang model, saya lihat bagaimana dia berjalan dan bercakap," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain