suria

Paula Malai Ali Bahagia Bergelar Ibu

Status sebagai ibu baru tidak menyekat Paula untuk kembali aktif dalam pengacaraan.
Status sebagai ibu baru tidak menyekat Paula untuk kembali aktif dalam pengacaraan.
Status sebagai ibu baru tidak menyekat Paula untuk kembali aktif dalam pengacaraan.

SELINCAH penampilannya, status ibu baru tidak pernah menyekat pengacara televisyen Paula Malai Ali,37, untuk terus aktif.

Buktinya, selepas dua bulan melahirkan bayi lelaki sulung bernama Zane pada 23 Februari lalu, hasil perkahwinannya dengan penerbit program The Biggest Loser yang dikenali sebagai Sam tahun lalu, Paula kembali ke arena pengacaraan.

Kali ini dengan membuat liputan kejohanan tenis 2011 Wimbledon Championship di Wimbledon, England dari 20 Jun hingga 3 Julai lalu.

Menerusi temu bual OopStarz! dengannya baru-baru ini, Paula sempat berkongsi cerita tentang dirinya apabila bergelar ibu, kehidupan semasa dan ketaksuban terhadap sukan tenis.

Pengalaman bergelar ibu.

Saya sangat teruja dan bahagia dengan pengalaman baru ini. Melihat gelagat dan ragam anak saya Zane membuatkan saya terfikir kenapa harus mengambil masa yang lama untuk bergelar ibu sebelum ini.

Pengalaman anda kembali bertugas selepas melahirkan anak.

Saya kembali bekerja selepas dua bulan melahirkan Zane tetapi kalau hendak tahu dalam tempoh itu juga saya sudah melakukan beberapa tugas sebagai pengacara majlis. Ia tidak mengejutkan sistem badan saya malah lebih memberangsangkan. Cuma, pada hari pertama bertugas saya sangat terganggu kerana asyik teringatkan Zane dan tidak sabar untuk pulang ke rumah secepat mungkin.

Perkara yang paling membahagiakan anda dalam menyaksikan Zane membesar?

Melihat personalitinya kian menyerlah saban hari adalah sesuatu yang membahagiakan. Setiap hari dia menjadi semakin responsif terhadap persekitaran. Kini Zane sudah mula ketawa dan mendengus apabila dia gembira atau tidak selesa.

Perubahan yang anda lihat dalam diri selepas bergelar ibu.

Perubahan itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Sejak bergelar ibu, saya mula lupa dan tidak endah tentang waktu tidur malam yang tidak cukup dan perasaan menyayangi seseorang yang tidak pernah saya fikirkan. Kerjaya dan hubungan sosial bersama teman-teman tidak saya abaikan tetapi kesudahannya perasaan untuk pulang ke rumah dan menghabiskan waktu dengan Zane tetap menguasai saya.

Bagaimana anda menyusun jadual waktu antara tugas sebagai pengacara, isteri dan ibu?

Sejak dulu, saya memang menekankan aspek jadual kerja dan pengurusan waktu. Cuma, kebelakangan ini saya lebih berkompromi kerana setiap keputusan yang hendak dibuat akan dipengaruhi emosi dan Zane. Namun, saya bersyukur kerana kerjaya ini membolehkan saya menghabiskan lebih banyak waktu di rumah dan fleksibel.

Kecintaan terhadap tenis.

Saya bersekolah asrama di England dan sukan tenis adalah permainan kami ketika di sana. Saya cukup obses apabila dapat bermain tenis dan seronok menontonnya juga. Ia adalah sejenis sukan yang penuh dengan emosi.

Perkembangan terbaru anda.

Saya akan terus mengendalikan program Ace, F1 dan Engine Block. Dalam pada masa yang sama, saya tetap berharap untuk kembali ke pentas teater. Buat masa ini, saya bahagia menjalani rutin harian sebagai ibu dan memerhatikan anak lelaki saya membesar.

Wajah dan aksi Paula boleh ditonton dalam program majalah tenis, Ace yang bersiaran setiap Rabu di STAR Sports (saluran 813).

* Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz dalam Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain