suria

Marsha Belum Rancang Kahwin Waktu Terdekat

Marsha Londoh
Marsha Londoh
Marsha Londoh

PETALING JAYA: Penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga biarpun sudah hampir dua tahun menjalinkan hubungan cinta dengan seorang usahawan berketurunan Melayu.

Menurut Marsha, dia tidak mahu membuat sebarang perancangan mengenai perkara itu kerana hubungan tersebut masih belum meyakinkannya untuk berada lebih jauh.

"Saya belum lagi merancang ke arah itu dan lebih selesa untuk berkawan saja. Buat masa ini, banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum hidup bersama.

"Mungkin saya belum bersedia dan ingin fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu," katanya.

Bagaimanapun, Marsha mengakui telah memperkenalkan lelaki istimewa tersebut dengan keluarganya.

"Dia sudah bertemu keluarga saya ketika majlis hari jadi saya yang lalu dan saya juga telah bertemu keluarganya pada hari raya yang lepas.

"Percintaan kami berjalan dengan baik cuma ada beberapa perkara yang membuatkan saya malas untuk merancang lebih jauh dalam hubungan ini," katanya.

Ketika ditanya tentang kesedian keluarga menerima lelaki tersebut dengan perbezaan anutan agama, Marsha enggan mengulas sebaliknya menyerahkan segalanya kepada jodoh.

Dalam pada itu, Marsha yang pernah digosipkan dengan beberapa nama artis terkenal mengakui sifat manja dan mudah mesra sering disalah tafsir oleh beberapa pihak.

"Mereka mungkin nampak saya mesra dengan seseorang dan menganggap kami sebagai bercinta, walhal sebenarnya tidak.

"Kadang kala perkara itu atau gosip tersebut membuatkan saya sendiri malu ketika terserempak dengan orang tersebut," katanya yang pernah dikaitkan dengan Yusry KRU dan Datuk Ramli MS.

Artikel Lain