suria

Irama Nasyid Dunia Dalam 'Islamic Song Festival'

PETALING JAYA: Atas dasar yakin dan percaya bahawa irama keislaman masih mendapat tempat, syarikat Out of This World Sdn Bhd (O2TW) bakal menganjurkan Islamic Song Festival pada 30 April dan 1 Mei ini di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Menurut Pengarah Operasinya, Afizah Ismail, mereka terpanggil untuk menganjurkan festival lagu-lagu Islam itu kerana peka dengan perubahan cita rasa muzik di kalangan remaja bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Jika diperhatikan kebanyakan remaja masa kini lebih terdedah dengan muzik yang lebih moden seperti R&B, rap, world music, kontemporari dan hip hop yang sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kurangnya minat remaja menyaksikan persembahan nasyid tradisional,” katanya.

Katanya lagi, genre nasyid moden yang kini mengambil alih tempat dan semakin popular di kalangan remaja dari negara Islam yang lain juga menjadi faktor utama mengapa mereka begitu berminat untuk menganjurkan Islamic Song Festival Edisi ke 2.

Selain itu, penganjuran kali kedua ini juga ada kaitan dengan imej Malaysia yang cukup dihormati oleh negara Islam yang lain.

“Contohnya, Malaysia pada mata dunia dianggap sebuah model negara Islam yang menuju ke arah status negara maju namun pada masa masih di imbangi dengan elemen keislaman.

"Justeru dengan adanya acara seperti ini, sedikit sebanyak menunjukkan Malaysia juga berusaha untuk menerapkan nilai keislaman yang bukan sahaja menerusi gaya hidup tetapi juga dari segi muzik mereka,” ujarnya.

Persembahan yang memakan masa selama empat jam itu akan menampilkan beberapa artis solo dan berkumpulan dari Malaysia dan antarabangsa selama 30 minit.

"Kami mendapat maklum balas daripada 40 artis solo dan berkumpulan yang menunjukkan minat untuk menyertai acara ini. Bagaimanapun selepas diteliti dari segi genre muzik dan jadual acara, kami telah menetapkan 12 peserta sahaja," ujarnya.

Tambahnya, konsert ini merupakan peluang baik kepada artis-artis nasyid untuk kembali mendapat tempat di hati peminat nasyid di Malaysia.

Pada malam pertama festival tersebut akan menampilkan persembahan duta nasyid Indonesia, Opick dan akan disertai oleh kumpulan Brothers (Malaysia), kumpulan Nasyid Hip Hop/Rap The Brothahood dari Australia, Khaleel Mohamad (UK), Khalid Belrhouzi (Peranchis) menampilkan Ziryab (Arab Saudi) dan Bennami (Brazil), Fez Meghani & Aftab Ali (Amerika Syarikat dan La Rappel (Perancis).

Manakala, malam kedua akan diserikan dengan Zain Bhikha dari Afrika Selatan yang mana bakatnya dicungkil oleh legenda nasyid dunia, Yusof Islam dan kini menjadi salah seorang artis nasyid yang diminati di seluruh dunia.

Untuk keterangan lanjut mengenai Islamic Song Festival 2011, sila hubungi Amy Mohamed ditalian 03-77821332 atau [email protected]

Artikel Lain