suria

Aktif 5 Raih 800,000 Penonton

Ahdan bersama salah seorang peserta Aktif 5.
Ahdan bersama salah seorang peserta Aktif 5.
Ahdan bersama salah seorang peserta Aktif 5.

PETALING JAYA: Setelah lima episod bersiaran secara langsung dari Studio 1, Angkasapuri, program Aktif 5 menerusi saluran TV2 semakin rancak menambat hati penonton apabila berjaya meraih lebih 800 ribu penonton.

Disiarkan setiap Ahad, pukul 9 malam, Aktif 5 adalah sebuah program game show berteraskan muzik di samping menerapkan unsur jenaka dan keceriaan.

Penerbit Aktif 5, Azman Hashim berkata Aktif 5 menumpukan kepada bakat peserta dan perwatakan yang riang serta bersahaja.

“Kami memilih peserta daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi. Sehingga episod ke-5 ini, sambutan amatlah menggalakkan daripada peserta dan juga penonton di rumah.”

“Aktif 5 juga berbeza daripada program-program RTM lain kerana ia adalah program interaktif antara pengacara dan penonton di rumah. Manakala Aktif 5 menampilkan 5 peserta di Studio yang bersaing sesama mereka untuk menjadi juara mingguan.”

“Program ini diterbitkan bagi meneruskan penghasilan program-program bermutu oleh RTM. Selain itu, Aktif 5 bertujuan menghiburkan penonton serta mendekatkan penonton muda dengan program-program terbitan RTM. Penonton bukan sahaja dapat mendengar muzik tetapi turut dapat menonton aksi-aksi menarik peserta menerusi Aktif 5.”

“Program ini juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Jika anda sukakan muzik dan jenaka, anda patut menonton Aktif 5.” katanya.

Tambah Azman, meskipun tanpa interaksi secara langsung dengan penonton di rumah, namun program ini turut menyediakan kuiz iaitu soalan terkumpul untuk penonton-penonton di rumah.

Tajuk Aktif 5 ini bukan sahaja berkaitan dengan lima peserta untuk setiap episod malah diilhamkan juga daripada lima pusingan dalam program ini iaitu Irama dan Lagu, Rentap Berentap, Tukang Muzik, Ajuk Sakan dan Satu-satunya.

Dalam pusingan Irama dan Lagu, semua peserta akan diberi lima lirik lagu tanpa tajuk. Mereka kemudiannya diminta menyanyikan lagu tersebut. Pusingan Rentak Berentap mencabar peserta untuk mengikut gerak tarian dan bersama-sama menari dengan kumpulan tarian Rentak Berentap. Peserta diuji kemahirannya dalam muzik menerusi pusingan Tukang Muzik yang mana mereka perlu menggunakan peralatan yang bukan alat muzik (peralatan dapur, alat membasuh pakaian, tempurung dan sebagainya) untuk mengikuti rentak muzik yang dimainkan.

Pusingan Ajuk Sakan menghendaki peserta untuk bertindak sebagai pemimpin kumpulan muzik. Dua peserta yang mengumpulkan markah paling tinggi akan bersaing untuk mempersembahkan bakat tersendiri untuk menjadi juara dalam sesebuah episod.

Aktif 5 dikendalikan oleh Ahdan Salleh yang merupakan anggota kumpulan FLAVA dan bekas pelajar Pilih Kasih 1. Setiap minggu, program ini akan menjemput seorang artis sebagai pengadil. Antara artis-artis popular yang menjayakan Aktif 5 ialah Nubhan, Siti Nordiana, Haiza dan Azlan Typewriter.

Artikel Berikut

Artikel Lain