suria

Vanidah Imran & Awal Ashaari Pengacara Anugerah Skrin 2010

SUBANG JAYA: Pelakon Vanidah Imran dan Awal Ashaari dipilih sebagai pengacara bagi anugerah berprestij Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 Disember ini.

Menurut Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar pemilihan dua muka baru itu adalah bagi memberi kelainan kepada penganjuran kali ini.

“Kami memberi peluang kepada Awal dan Vanidah kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri. Kebiasaannya majlis anugerah sentiasa menggunakan pengacara yang boleh membuat lawak atau berjenaka tetapi kali ini kita mahu ia lebih serius.

“Kami bersetuju untuk mengambil mereka setelah membuat uji bakat terlebih dahulu dan melihat keserasian yang ada pada kedua-dua mereka,” ujarnya pada sidang media Anugerah Skrin 2010, di sini, Khamis.

Manakala Vanidah memberitahu tanggung jawab yang diberikan kepadanya sangat besar dalam mengendalikan anugerah yang berprestij ini.

“Saya tahu ini bukan sesuatu yang kecil dan pengacara boleh menjadi penyebab sesebuah majlis itu berjaya atau gagal.

“Secara jujur memang saya gementar, namun pasti ada sebab mereka mengambil saya untuk bergandingan dengan Awal bagi mengacarakan malam tersebut,” katanya.

Sementara itu, Awal Ashaari menganggap peluang yang diberikan oleh pihak TV3 untuk mengacarakan anugerah ini tidak akan di sia-siakan.

“Saya tidak terfikir akan dipilih untuk menjadi pengacara bagi anugerah berprestij ini. Namun saya akan buat sebaik mungkin. Lagi pula saya akan digandingkan dengan pelakon yang sudah banyak pengalaman.

“Kami akan bekerjasama untuk mengendalikan ASK2010 ini dengan baik. Ketika ujibakat saya dapat rasakan saya dan Vanidah ada keserasian, jadi Insya Allah tidak ada masalah,” katanya.

Secara keseluruhan, ASK 2010 bakal mempertandingkan 24 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.

Sepuluh kategori drama bakal dipertandingkan termasuk Anugerah Videografi Terbaik yang baru diperkenalkan pada tahun lepas.

Manakala jumlah filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Anugerah Skrin 2010 ini akan mempertandingkan 17 buah drama, 12 drama rantaian dan lima drama komedi. Manakala kategori filem pula 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan kali ini.

Jelas Nurul Aini, calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010.

“Selain mengikut tarikh 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010, drama terpilih juga berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre masing-masing,” katanya.

Selain itu dari segi penjurian, juri yang dilantik tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam drama atau filem tersebut.

“kami sentiasa menitik beratkan tentang penjurian dan tidak mahu terjadi sebarang kontroversi terhadap keputusan yang dibuat.

“Oleh itu kami memilih mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu bidang itu namun tidak mempunyai kena mengena atau kaitan dengan drama atau filem yang diadili,” ujar Nurul Aini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ijoy Terkena Demam Denggi

Artikel Lain