suria

Nadia Aqilah Lupakan Bidang Lakonan

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Nadia Aqilah,25, tekad menolak tawaran berlakon buat semetara waktu demi menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian.

Dia yang baru sahaja melancarkan album solo pertamanya berjudul Nadia Aqilah mahu dirinya dikenali sebagai penyanyi.

“Ramai yang kenal saya sebagai pelakon. Jiwa saya terlalu kuat dalam bidang ini, cuma terlalu banyak halangan yang datang menyebabkan saya melupakan seketika nyanyian dan terpaksa berlakon.

“Tapi selepas mendapat tawaran dari label Lakefront Records Sdn Bhd, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada,” ujarnya yang memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 2007 bersama kumpulan trio anak gadis yang digelar Luscious.

Menurut Nadia, setelah tiga tahun meninggalkan nyanyian dan aktif menerima tawaran berlakon, dia pasti keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat dirinya.

“Kedua dua bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi. Tapi ini tidak bermakna saya meninggalkan terus bidang lakonan,” katanya.

Album yang memuatkan 10 buah lagu masing-masing tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga buah lagu berbahasa Malaysia akan dipasarkan pada hujung bulan ini.

Dengan mempertaruhkan single sulungnya, D.I.V.A. yang dicipta oleh Daniel Veerapendan dan Nadia sendiri serta lirik oleh Bahri Uma, dia optimis untuk mengorak langkah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kami merancang untuk memasarkan album ini ke luar negara, sebab itu tujuh daripada lagu adalah berbahasa Inggeris.

“Buat masa ini single pertama D.I.V.A akan dipromo dahulu. Malah mereka yang telah mendengar lagu ini memberikan maklum balas yang positif,” katanya.

Nadia pernah membintangi dua buah teater muzikal, Puteri Gunung Ledang dan Muzikal P. Ramlee dan beberapa buah drama tempatan seperti Amil Amelda, Sindarela, Merah Putih dan Tari Tirana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ijoy Terkena Demam Denggi

Artikel Lain