suria

Angkasawan Negara Sah Bergelar Suami

Pasangan pengantin baru ini akan berbulan madu di Mekah sambil mengerjakan umrah FOTO The Star Oleh AZMAN GHANI
Pasangan pengantin baru ini akan berbulan madu di Mekah sambil mengerjakan umrah FOTO The Star Oleh AZMAN GHANI
Pasangan pengantin baru ini akan berbulan madu di Mekah sambil mengerjakan umrah FOTO The Star Oleh AZMAN GHANI

PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Ahad.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunos Mohd Ali dengan bersaksikan Ketua Pendaftar Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Ia dilakukan kira-kira pada pukul 11.45 pagi di hadapan, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Pasangan yang bertunang pada 1 Januari lalu itu menzahirkan rasa syukur kerana majlis berkenaan berjalan dengan lancar.

"Alhamdulilah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dan masyarakat yang datang meraikan majlis ini.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk meneruskan tugas yang diamanahkan di samping tanggungjawab sebagai seorang suami," kata Sheikh Muszaphar.

Manakala Dr Halina turut mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah.

"Syukur semua sudah selesai, perasaan saya ketika ini bercampur baur sama ada gembira sedih dan terharu kerana melangkah setapak lagi ke fasa hidup berumah tangga," ujarnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, pasangan ini memberitahu menyerahkan segalanya kepada Allah. Mereka juga dijangka akan menunaikan umrah sambil berbulan madu.

Pada majlis tersebut Dr Halina tampil anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Putra dari butik Cosry.

Sheikh Muszaphar menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 berona putih gading dan perak. Hiasan hantaran turut diserikan dengan warna biru muda.

Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dimaklumkan atas kehendak kedua-dua belah pihak.

Majlis persandingan akan diadakan malam ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC) bertemakan "pahlawan Melayu di istana kayangan".

Lebih 1,000 jemputan akan hadir yang terdiri daripada kerabat diraja, orang kenamaan, ahli keluarga, rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 negara serta 20 media antarabangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bienda Masih Berahsia

Artikel Lain