suria

Tuhan Selamatkan Maher Zain

PETALING JAYA: Penyanyi Lubnan yang sedang popular dengan lagu “Thank You Allah”, Maher Zain (gambar) merupakan seorang penyanyi yang begitu bertuah kerana hatinya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan setelah tersasar dengan kehidupannya sebelum ini.

Penyanyi yang berusia 28 tahun ini tidak malu untuk berkongsi pengalaman hitam bagaimana kehidupannya terpesong sehingga dia pernah terlupa membaca Al-Fatihah.

Katanya, perkara itu berlaku kerana dia terlalu sibuk mengejar kepentingan dunia selain terlibat dengan aktiviti sosial kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

“Tiga tahun lalu kehidupan saya sangat teruk. Saya terpengaruh dengan rakan-rakan dan telah melupakan Allah. Bukan senang untuk hidup di negara Barat apatah lagi banyak aktiviti hiburan yang akan menyebabkan kita alpa,” katanya.

Menurut Maher lagi, dia bersyukur kerana Allah telah memberi hidayah kepadanya apabila dia mula sedar dengan kesilapan lalu ketika menyaksikan satu persembahan nasyid di sebuah negara.

Persembahan dalam bahasa Arab itu benar-benar menginsafkan Maher walaupun dia tidak faham maksud lagu berkenaan.

“Hati saya amat tersentuh mendengar lagu itu menyebabkan saya menjadi insaf lalu menghasilkan lagu-lagu berunsur ketuhanan,” katanya.

Sementara kunjungannya ke Malaysia, Maher akan turut mengadakan persembahan Save The Soul anjuran rumah perlindungan wanita Raudatul Sakinah pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam, Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Lain